Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Sabtu, 18 Julai. - Majlis Khatam Al-Quran merupakan antara program tahunan yang signifikan di sekolah-sekolah ugama sebagai tanda penghargaan terhadap murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu, celik Al-Quran dan berakhlak mulia.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Pantai Berakas telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 22 peserta khatam yang terdiri daripada 15 murid lelaki dan tujuh murid perempuan berlangsung di Dewan Anak Wira sekolah berkenaan, petang tadi.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Unit Maklumat, Perangkaan dan Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Norliyani binti Haji Ahmad, yang turut memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhammad Sahqyil Rizwan bin Riduan.
Penyampaian sijil kepada para peserta khatam kemudiannya disempurnakan oleh tetamu khas majlis, yang turut diiringi dengan persembahan Dikir Asyraqal sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh tenaga pengajar, Awang Abd. Aziz bin Haji Mohammad.
Majlis tersebut turut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga, di samping mencerminkan komitmen berterusan JPI, KHEU dalam memperkukuhkan pendidikan ugama serta menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid.