Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Ihsan Persatuan Motosikal Kembara Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. – Lebih 200 buah motosikal menyertai Konvoi Semarak Bermotosikal sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80, Tahun 2026 bagi menzahirkan rasa kasih, taat setia dan penghargaan rakyat kepada raja yang dikasihi.
Konvoi yang diadakan pada 15 Julai 2026 berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Motosikal Kembara Brunei di bawah pimpinan Yang Dipertua, Awang Haji Alias bin Haji Md. Salleh, bersama Naib Yang Dipertua, Awang Mohd. Azery bin Haji Jalil, dengan kerjasama beberapa persatuan dan kelab motosikal yang berdaftar di negara ini.
Turut berganding bahu menjayakan konvoi berkenaan ialah Bersatu Biker Club (BBC) yang diketuai oleh Yang Dipertua, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi; Persatuan Motosikal Temburong (PMT) yang diketuai oleh Yang Dipertua, Md. Khairol Asyraf; serta NThree Riders Association yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua, Sheikh Mohd. Ali Haji Abdul Salam.
Konvoi berkenaan turut disemarakkan dengan penyertaan 23 kumpulan motosikal termasuk Muslim Rider Club Brunei (MRC), Biker_BN, Black Eagle MG, Motohead MG Brunei, Nomad Rider Group, Mad Riders MG, S.O.M, Pelesit Bikerz Brunei, BIBRAS Brunei, Ronda Syndicate MG, Capulet MG, Last Pride Bikers, Pembalab KB, Chrome Knight Brother, Ghost Reaper MG, Port Biker, MT_BN Community, Nakba48 Riders Brunei, Delta Bikers, Gengstar Mother Chapter, 9+Skullz, Port Bikers, Silaturahim Dua Roda dan KBB.
Konvoi bermula dari kawasan lapang Jerudong sebelum melalui laluan menuju Muara dan Serasa, seterusnya memasuki Lebuhraya Tungku Link dan tiba di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di ibu negara.
Di lokasi berkenaan, para peserta mengadakan sesi bergambar ramai dengan berlatarbelakangkan kibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Masjid Omar 'Ali Saifuddien sebagai simbol semangat patriotisme serta kecintaan kepada negara dan raja.
Para peserta kemudiannya menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah di Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang diimamkan oleh Imam Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang dan diteruskan dengan bacaan doa khusus memohon agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan, kebijaksanaan dalam memimpin negara serta kekal berada di bawah rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.
Selepas itu, konvoi diteruskan dari Kompleks YSHHB menuju ke destinasi penamat di Tee Box Cafe.
Keseluruhan perjalanan sejauh 80 kilometer dipilih sebagai simbolik sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang Ke-80.
Penganjuran konvoi berkenaan bukan sahaja bertujuan memeriahkan Sambutan Hari Keputeraan baginda, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti pemotoran di NBD.
Selain itu, ia turut mencerminkan perpaduan, semangat kekitaan serta rasa kasih sayang dan taat setia rakyat terhadap raja yang amat dikasihi.