Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Maktabah UNISSA, Kampus Gadong telah mengadakan satu program khidmat masyarakat yang dilaksanakan menerusi aktiviti 'Wakaf Yaa Siin dan Kempen Membersihkan Tanah Perkuburan'.
Program berkenaan berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Liau Besar, Kampung Katimahar dan disertai bersama oleh Ketua Kampung Lugu dan Katimahar, Awang Abdul Hadi bin Abdul Sani, bersama 10 Ahli Jawatankuasa Kampung Katimahar.
Aktiviti berkenaan memfokuskan kepada penyerahan ringkas wakaf buku Yaa Siin sebanyak 60 buah dari Maktabah UNISSA untuk kegunaan orang ramai yang mengunjungi Tanah Perkuburan Islam Liau Besar, Kampung Katimahar.
Aktiviti diteruskan dengan kerja-kerja fizikal seperti bergotong-royong membersihkan persekitaran perkuburan serta mengutip sampah-sarap. Aktiviti yang dilaksanakan secara kolaboratif berkenaan memperlihatkan peranan institusi yang tidak hanya terhad kepada aktiviti membaca, malah aktif dalam menyantuni komuniti setempat.
Sementara itu, Ketua Kampung Lugu dan Katimahar menyatakan bahawa aktiviti murni berkenaan diharap agar jalinan kerjasama antara komuniti kampung dan Maktabah UNISSA dapat diteruskan pada masa hadapan menerusi pelbagai lagi program kemasyarakatan, literasi dan sosioekonomi yang memberikan impak positif kepada penduduk setempat.
Aktiviti diakhiri dengan membaca Surah Al-'Asr beramai-ramai.