Memupuk komuniti pelajar berdaya saing, berwawasan

19 Jul 2026 - 5:36am

Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Pelajar Ekonomi

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Julai. - Dewan Pelajar Ekonomi (DPE) atau Economic Students’ Chamber telah berjaya menganjurkan edisi pertama The Invisible Handshake Series (IHS) yang menghimpunkan para pelajar, ahli akademik, golongan profesional serta orang ramai dalam satu sesi ‘fireside chat’ yang membincangkan peranan ekonomi dalam membentuk masyarakat menerusi perspektif berteraskan nilai kemanusiaan.

Acara yang diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia berkenaan mengangkat tema ‘Shaping Society : Economics Mind Guided by Human Lens’ dan menampilkan Profesor Ekonomi di Ateneo de Manila University serta Senior Fellow di Ateneo Center for Economic Research and Development (ACERD), Profesor Alvin Ang, sebagai ahli panel jemputan.

Program berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 30 peserta yang terdiri daripada pelajar sarjana muda dan sarjana, ahli akademik serta golongan profesional daripada pelbagai latar belakang akademik dan industri.

Para peserta mewakili Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), sektor swasta serta beberapa organisasi lain.

Dianjurkan oleh DPE, The Invisible Handshake Series merupakan platform ‘fireside chat’ utama DPE yang diwujudkan bagi menyediakan ruang kepada para pelajar, ahli akademik, penggubal dasar, golongan profesional dan masyarakat untuk mengadakan perbincangan yang bermakna mengenai ekonomi dan masyarakat.

Siri berkenaan bertujuan untuk merapatkan jurang antara ilmu akademik dan teori dengan realiti dan praktikal dunia sebenar melalui perbincangan mengenai isu-isu semasa, di samping menggalakkan dialog yang inklusif, mudah difahami, serta merangsang pemikiran kritis. Sepanjang sesi berkenaan, Profesor Alvin Ang berkongsi pengalaman beliau yang menjangkau lebih tiga dekad dalam bidang akademik, penggubalan dasar awam, dan pembangunan ekonomi.

Beliau juga menekankan bahawa ekonomi bukan sekadar teori atau analisis statistik, malah merupakan satu cara berfikir yang dapat membantu masyarakat membuat keputusan yang lebih bijaksana, inklusif dan mampan.

Profesor Alvin Ang turut menggalakkan para peserta untuk melihat ekonomi sebagai satu disiplin yang berupaya menyumbang kepada kepimpinan, penggubalan dasar serta pembangunan negara.

Perbincangan turut menyentuh mengenai pelbagai isu semasa yang relevan kepada Negara Brunei Darussalam (NBD) dan rantau Asia Tenggara, termasuk kepelbagaian ekonomi, pembangunan belia, penggubalan dasar awam, Kecerdasan Buatan (AI), dunia pekerjaan pada masa hadapan serta kepentingan mengimbangi kecekapan ekonomi dengan sikap empati, etika dan tanggungjawab sosial.

Selesai sesi ‘fireside chat’ yang dikendalikan oleh Moderator, para peserta telah mengambil bahagian secara aktif dalam sesi soal jawab (Open Mic Q and A) dengan mengemukakan pelbagai pandangan serta persoalan berkaitan ekonomi, dasar awam serta hala tuju pembangunan negara.

Program diteruskan dengan ‘networking session’ yang memberi peluang kepada para peserta untuk meneruskan perbincangan, membina rangkaian profesional serta mengukuhkan kerjasama merentasi pelbagai bidang dan sektor.

Sebagai program pertama anjuran DPE, The Invisible Handshake Series menzahirkan komitmen DPE dalam memupuk komuniti pelajar dalam bidang ekonomi yang aktif, berdaya saing, dan berwawasan, di samping menyediakan platform bermakna untuk pembelajaran, pembangunan profesional, jaringan kerjasama serta dialog intelektual.

DPE berharap siri berkenaan akan terus menjadi wadah yang menggalakkan pemikiran kritis, memperkukuh kerjasama antara akademia, industri, dan masyarakat, serta menyumbang kepada pembangunan negara.