Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
GADONG, Sabtu, 18 Julai. - Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata (SRKMM) Gadong, Kluster 3 menganjurkan Program Acara Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu, Pengetahuan Ugama Islam (PUI), Melayu Islam Beraja (MIB), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Lukisan Tahun 2026 dengan matlamat memupuk minat pelajar terhadap pembelajaran menerusi pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Majlis pembukaan program berkenaan diadakan di Dewan Al-Baraqah, SRKMM, di sini, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan program berkenaan, Pemangku Ketua Kampung Mata-Mata Gadong, Kawasan 1, Awang Mohd. Yassin bin Haji Omar.
Program yang bertemakan 'Fun Learning Merangkai Bahasa, Ilmu Agama, Nilai MIB dan Kreativiti' berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada para pelajar memperkukuh penguasaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, PUI dan nilai-nilai MIB, di samping meningkatkan kemahiran dalam bidang ICT serta mencungkil bakat kreativiti melalui aktiviti seni dan lukisan.
Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Guru besar / Pegawai Pendidikan, SRKMM, Awang Haji Mohammad Suazmie bin Awang Haji Zulkifli berkata, pendidikan masa kini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah turut menekankan pembentukan sahsiah, pemikiran kreatif, kemahiran abad ke-21 serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Oleh itu jelasnya lagi, program berkenaan diharap dapat menjadi platform yang berkesan dalam meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran serta memupuk keyakinan diri pelajar melalui penyertaan aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
"Penghargaan turut dirakamkan kepada pihak sekolah, para guru, jawatankuasa pelaksana serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.
"Saya berharap agar para pelajar dapat memanfaatkan peluang yang disediakan untuk belajar, meneroka dan menimba pengalaman baharu dengan penuh semangat dan kesungguhan," ujarnya lagi.
Sebagai salah satu pengisian program, para pelajar dan ibu bapa menyertai aktiviti sukan ria bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk menggalakkan semangat kerjasama, keyakinan diri serta kesihatan fizikal menerusi penyertaan secara aktif.