Meningkatkan kesedaran ibu bapa kepentingan penguasaan sifir

19 Jul 2026 - 5:26am

Siaran Akhbar dan Foto : Nuqra Math Learning Centre

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Julai. - Nuqra Math Learning Centre dengan kerjasama Congak Math Brunei telah berjaya menganjurkan Parent Coaching Bengkel Genius Sifir Tour 2.0 di Sekolah Rendah Haji Tarif yang menghimpunkan kira-kira 70 peserta, terdiri daripada ibu bapa serta murid-murid Tahun 3 hingga Tahun 6.

Bengkel yang disampaikan oleh Cheman Congak Math berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan penguasaan sifir sebagai asas Matematik, di samping memperkukuh peranan ibu bapa dalam menyokong pembelajaran anak-anak di rumah.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Haji Tarif, yang turut mengumumkan Nuqra Math Learning Centre sebagai Rakan Kolaboratif Congak Math Brunei dalam usaha memperkukuh kerjasama bagi meningkatkan penguasaan Matematik dalam kalangan murid sekolah rendah.

Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan kepada teknik pembelajaran sifir yang mudah, pantas dan praktikal.

Program turut diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para ibu bapa sebagai penghargaan atas komitmen mereka dalam menyokong perkembangan pembelajaran anak-anak.

Nuqra Math Learning Centre merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Sekolah Rendah Haji Tarif, para guru, ibu bapa serta semua peserta atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Nuqra Math Learning Centre dan Congak Math Brunei untuk memperkukuh asas Matematik murid-murid melalui kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.