PBB mengangkat hasil karya, pemikiran penulis tempatan

18 Jul 2026 - 8:36am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. – Pesta Buku Brunei (PBB) 2026 bukan sekadar acara tahunan yang menghimpunkan pencinta buku, malah menjadi wadah penting dalam mengetengahkan karya, pemikiran serta bakat penulis tempatan sebagai khazanah intelektual negara.

Perkara berkenaan ditekankan dalam sesi Panel Bual Bicara OPERA Brunei Darussalam bersempena dengan PBB 2026 yang berlangsung di Pentas Utama pesta berkenaan, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (SNHB), di sini.

Panel pertama, Awang Mohammad Hajib Sarhan bin Awang Mohammad Harkani yang merupakan Novelis 'Syair Terakhir' turut merakamkan penghargaan kepada DBP selaku penganjur serta Opera Brunei, yang mewakili organisasi alumni peserta Program Penulisan Mastera daripada pelbagai daerah di negara ini.

Mengulas mengenai usaha memperkasa dunia penulisan tempatan, Awang Mohammad Hajib Sarhan seterusnya menjelaskan bahawa PBB perlu dilihat lebih daripada sekadar tempat membeli buku atau acara bermusim.

Sebaliknya katanya lagi, ia merupakan ruang terbaik untuk menghargai, mengangkat dan memperkenalkan hasil karya penulis Negara Brunei Darusalam (NBD) kepada masyarakat.

Menurutnya, PBB berkenaan menjadi lokasi pertemuan masyarakat dengan pemikiran rakyat NBD yang diterjemahkan dalam pelbagai bentuk penulisan, sama ada fiksyen mahupun bukan fiksyen. Dokumentasi idea dan pengalaman melalui karya penulisan disifatkan sebagai satu usaha penting dalam merakam memori zaman serta membentuk identiti bangsa.

Selain itu, panel pertama turut menegaskan bahawa penghasilan karya tempatan selari dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan masyarakat berpendidikan, berkemahiran dan berfikiran progresif.

Justeru itu katanya lagi, budaya membaca dan menulis perlu terus diperkukuh agar lebih ramai rakyat tampil berkongsi buah fikiran mereka dalam bentuk karya yang dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Walaupun mengakui cabaran dalam memperluaskan dunia penulisan tempatan masih wujud, beliau menyifatkan perkembangan PBB dari tahun ke tahun sebagai sesuatu yang memberangsangkan dengan pelbagai pembaharuan, idea kreatif dan penyertaan yang semakin meluas.

"Saya menyeru orang ramai agar menjadikan PBB bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai platform untuk menyemarakkan budaya ilmu, menghargai karya tempatan dan memperkukuh ekosistem penulisan negara.

"Melalui pemikiran yang didokumentasikan dalam bentuk buku, masyarakat bukan sahaja mewariskan ilmu, malah meninggalkan legasi yang akan menjadi memori berharga buat generasi akan datang," ujarnya lagi.

Sementara itu panel kedua, iaitu Dayang Nurul Husna binti Mohd. Ali pula menjelaskan bahawa PBB 2026 mengetengahkan kepentingan buku sebagai medium yang menghubungkan pembaca dengan penerbit, sekali gus memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Dayang Nurul Husna yang merupakan seorang cerpenis 'Kumpulan Cerpen Erti' menjelaskan bahawa orientasi PBB bukan sekadar menghimpunkan pelbagai judul buku dan penerbit, malah berperanan sebagai jambatan yang mengeratkan hubungan antara pembaca dan penerbit melalui perkongsian ilmu, idea serta pengalaman.

Menurutnya, buku merupakan medium komunikasi yang unik kerana setiap helaian mampu menyampaikan mesej, pemikiran dan pengetahuan kepada pembaca tanpa batasan masa dan tempat.

Tambahnya lagi, orientasi PBB berkenaan menjadi penghubung antara pembaca dengan penerbit. Seseorang boleh berkomunikasi melalui buku itu sendiri kerana buku merupakan wadah untuk mencapai ilmu dan membuka ruang kepada masyarakat memperkaya pengetahuan.

Dayang Nurul Husna turut menegaskan bahawa ilmu yang diperoleh melalui pembacaan menjadi asas penting dalam melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis, kreatif dan berintelek, selaras dengan aspirasi negara untuk membudayakan amalan membaca.

Acara Bual Bicara OPERA Brunei Darussalam berkenaan dipengerusikan oleh Awangku Mohd. Noor Sham Hidie bin Pengiran Haji Hidup sebagai Moderator.

PBB 2026 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berkenaan berlangsung dari 11 hingga 21 Julai 2026 di Stadium Tertutup, Kompleks SNHB, Berakas, dengan pelbagai aktiviti termasuk forum, bual bicara, pelancaran buku, pameran dan jualan buku dengan harga promosi yang berbaloi dan berpatutan daripada toko-toko buku dalam dan luar negara.

Dengan adanya PBB seumpama berkenaan bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan semua lapisan masyarakat dan sesuai dengan tema yang diketengahkan pada kali ini iaitu 'Brunei Membaca : Masyarakat Intelek'.