Oleh : Aimi Sani
Foto : Aimi Sani, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. - Suasana gerai-gerai perayaan di kawasan ibu negara terus meriah dengan kehadiran orang ramai yang mengambil peluang mengunjungi pelbagai gerai sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.
Gerai-gerai perayaan yang mula beroperasi pada 15 Julai lalu menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman, produk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pakaian serta pelbagai barangan lain yang menjadi tarikan kepada pengunjung dari seluruh negara.
Kemeriahan suasana jelas kelihatan terutama pada waktu petang hingga malam apabila orang ramai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan berkunjung ke kawasan berkenaan untuk menikmati pelbagai juadah, membeli-belah serta menghayati suasana sambutan perayaan.
Dayang Hajah Rosnita binti Haji Lakat dari Kampung Jangsak ketika ditemui berkata, suasana gerai perayaan pada tahun ini amat meriah dengan penyertaan banyak vendor tempatan yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman.
Menurutnya lagi, makanan dan minuman yang dijual bukan sahaja enak, malah ditawarkan pada harga yang berpatutan serta berbaloi kepada para pengunjung.
"Alhamdulillah, suasana pada tahun ini sangat meriah seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Banyak vendor tempatan mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman yang enak dengan harga yang berpatutan," ujarnya lagi.
Selain itu, Dayang Hajah Rosnita turut berpendapat bahawa susun atur gerai pada tahun ini lebih teratur dan berbeza berbanding tahun lalu, sekali gus memberikan keselesaan kepada orang ramai untuk berkunjung dari satu gerai ke satu gerai yang lain.
Beliau seterusnya menambah bahawa aspek kebersihan kawasan gerai juga merupakan perkara penting yang perlu terus diberi perhatian bagi memastikan persekitaran kekal bersih, selesa dan kondusif sepanjang berlangsungnya perayaan.
Penganjuran gerai-gerai perayaan berkenaan bukan sahaja menyemarakkan lagi Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malah turut menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosi produk mereka bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malahan kepada pengunjung luar negara yang datang bertandang ke Negara Brunei Darussalam.