Pentas Perayaan wadah mengukuhkan perpaduan masyarakat setempat

18 Jul 2026 - 9:18am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BELAIT, Jumaat, 17 Julai. – Persembahan Malam Santai Bersama BSP dan Brunei LNG merupakan salah satu pengisian acara Pentas Perayaan Daerah Belait sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.

Antara yang hadir ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai dan kakitangan Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd. (BSP) serta Brunei LNG Sendirian Berhad (Brunei LNG) dan penduduk di Daerah Belait.

Persembahan yang diadakan di kawasan Gerai Tudung Saji, Kuala Belait, di sini, pada sebelah malam berkenaan menampilkan beberapa persembahan nyanyian yang dipersembahkan oleh Nees and Dua Tujuh Band, Stand-up Comedy daripada BruHaHa dan persembahan istimewa daripada penyanyi tempatan, Aziz Harun.

Dengan pengisian persembahan yang menghiburkan para pengunjung berkenaan sekali gus memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan di Daerah Belait.

Pentas Perayaan Daerah Belait akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan.

Pengendalian aktiviti berkenaan bukan sahaja memeriahkan sambutan perayaan, bahkan menjadi wadah untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat setempat khususnya penduduk di Daerah Belait.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026, bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80.