Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
TEMBURONG, Sabtu, 18 Julai. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Komunikasi Strategik, mengadakan Persembahan PENTARAMA sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 di Pentas Perayaan, Kawasan Dermaga, Pekan Bangar.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Awang Haji Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong; ketua-ketua kampung serta Pengerusi-pengerusi Bersama Acara-acara Malam Keraian Daerah Temburong.
PENTARAMA, singkatan kepada pentas, tari dan drama, merupakan antara kaedah penyampaian maklumat rasmi yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak 1988 bagi mendekati masyarakat secara bersemuka menerusi persembahan pentas.
Melalui program berbentuk ‘infotainmen’ berkenaan, Jabatan Penerangan terus berperanan menyampaikan pendidikan serta perkongsian maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat mengenai nilai-nilai positif, kesedaran sivik, semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan serta isu-isu semasa negara, termasuk permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat.
Persembahan dimulakan dengan lagu tema ‘PENTARAMA’ yang disusuli tarian oleh De Mahkota Dance Group, sebelum diteruskan dengan persembahan nyanyian solo dan berkumpulan oleh artis-artis tempatan, iaitu Marsya Dania, Mimi Wahab, Andie Othman, Awangku Shawn dan Awangku Fiqi.
Turut dipersembahkan ialah drama bertajuk ‘Bukan Sekadar Gurauan’ oleh Kumpulan Pento ‘XYZ’ di bawah naungan PGS RMF Production.
Drama berkenaan mengisahkan tentang penyalahgunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang pada awalnya dianggap sebagai gurauan, namun akhirnya membawa kepada perlakuan jenayah yang lebih serius, iaitu rasuah. Melalui penceritaan berkenaan, para penonton turut didedahkan mengenai kepentingan menggunakan teknologi secara beretika serta kesan buruk akibat penyalahgunaannya.
Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh (BruHaha) yang menyampaikan mesej kesedaran mengenai jenayah penipuan (scam) serta kepentingan mendapatkan dan berkongsi maklumat yang sahih dan tepat. Persembahan yang diselitkan dengan unsur komedi berkenaan turut memberi pendedahan mengenai pelbagai taktik penipuan yang semakin berleluasa di samping menggalakkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya.
Selain itu, Kuiz PENTARAMA turut diadakan bagi para penonton. Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian beramai-ramai oleh barisan artis tempatan yang membawakan lagu ‘Dirgahayu’.
Persembahan PENTARAMA akan diteruskan di daerah-daerah lain, iaitu di Daerah Brunei dan Muara pada Rabu, 22 Julai 2026 di Pentas Perayaan, Kawasan Lapang berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja; di Daerah Tutong pada Jumaat, 24 Julai 2026 di Pentas Perayaan, Kawasan Lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong; dan di Daerah Belait pada Sabtu, 25 Julai 2026 di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi menyaksikan Persembahan PENTARAMA sekali gus memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.