Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Julai. - Bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026, Kencana Laila Entertainment menganjurkan sebuah persembahan yang bertemakan ‘Satu Pentas, Seribu Kenangan’ diadakan di Kawasan Letak Kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, malam tadi.
Penganjuran persembahan ini bertujuan menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui pengisian seni dan budaya yang berkualiti.
Di samping itu, memberi ruang kepada penggiat seni tempatan untuk terus berkarya, memupuk semangat perpaduan serta menghargai jasa dan kepimpinan baginda dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam.
Selaras dengan tema ‘Satu Pentas seribu Kenangan’ persembahan tersebut telah menghimpunkan artis-artis tempatan yang terkenal dengan bakat dan pengalaman masing-masing iaitu Pengiran Shamsul Bahri bin Pengiran Haji Shamsu, Pengiran Md. Izzul Amin bin Pengiran Haji brahim, Rafi Aziz, Nazmi, Masita Tamil dan Hazimah Hamdan.
Barisan artis tempatan ini mempersembahkan pelbagai lagu yang mencerminkan semangat patriotisme, perpaduan dan hiburan untuk semua lapisan masyarakat.
Turut dipentaskan ialah sebuah persembahan teater bertajuk 'Nyampuk' yang dipersembahkan oleh Step1 Theater di bawah arahan Insan Mardini.
Tarikan utama persembahan teater ini adalah melalui corak jalan ceritanya yang kreatif, menghiburkan serta menyampaikan mesej yang dekat dengan kehidupan masyarakat tempatan.
Pengurus Urusan Kencana Laila Entertainment, Dayang Siti Maimun binti Haji Saman menyatakan bahawa penganjuran ini merupakan satu penghormatan besar buat syarikat dalam sama-sama menyumbang kepada Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui platform seni persembahan yang berkualiti serta mengangkat keupayaan bakat-bakat tempatan.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Keputeraan baginda atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada Kencana Laila Entertainment untuk menjayakan persembahan pentas sempena Sambutan bersejarah ini.
Kencana Laila Entertainment berharap persembahan ini bukan sahaja menjadi hiburan kepada orang ramai malah mampu menyampaikan mesej yang berharga serta menyatukan masyarakat melalui seni, budaya dan warisan negara, selaras dengan tema persembahan.