PESEBAR lancar 14 buku sejarah

19 Jul 2026 - 6:25am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Julai. - Sebanyak 14 buah buku meliputi buku-buku sejarah dan umum telah dilancarkan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB), pagi tadi.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengetua PSB, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Antara karya utama yang dilancarkan ialah buku dwibahasa 'Pemashhoran Kemerdekaan 1984 - Proclamation of Independence 1984' hasil tulisan mantan Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin bin Pengiran Abbas.

Buku tersebut menghimpunkan pengalaman beliau dalam penyediaan Titah Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1984.

Turut dilancarkan ialah 'Scripting the Archipelago' karya Yang Dipertua Persatuan Sejarah Brunei, Dr. Awang Haji Md. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos.

Buku tersebut merupakan satu kajian sejarah yang melihat perkembangan Bahasa Melayu dari sudut perubahan sistem tulisan, bermula daripada tulisan Pallava, Kawi, Jawi hingga kepada penggunaan tulisan Rumi pada masa kini.

Sebuah lagi karya penting yang diperkenalkan ialah 'Rancangan Kemajuan Negara 1967-2017 : Sejarah Pendidikan, Kesihatan dan Perumahan', hasil penulisan bersama Dayangku Norafidah binti Pengiran Mohd. Shamri, Profesor Dr. Haji Asbol bin Haji Mail, Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dan Dr. Haji Tassim bin Haji Abu Bakar.

Buku tersebut mendokumentasikan perkembangan Rancangan Kemajuan Negara dari tahun 1967 hingga tahun 2017 dengan memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan. Selain tiga karya utama berkenaan, sebanyak 11 buah lagi buku yang merangkumi bidang sejarah dan umum turut dilancarkan.

Sejurus selesai majlis pelancaran, Persatuan Sejarah Brunei mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Antara agenda utama mesyuarat ialah pelantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Sejarah Brunei bagi Sesi 2026-2028.