Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Kelab Benzer Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. – Kelab Benzer Brunei baru-baru ini telah mengadakan Perhimpunan Mercedes-Benz W124 yang berlangsung di kawasan letak kereta Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dalam sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80, Tahun 2026.
Semangat cintakan warisan automotif dan perpaduan komuniti dizahirkan menerusi perhimpunan berkenaan berjaya mengumpulkan para pemilik dan peminat Mercedes-Benz dari seluruh negara sebagai tanda sokongan serta turut menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Dipertua Kelab Benzer Brunei, Awang Abusophian bin Haji Ismail menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kelancaran penganjuran program berkenaan serta mengalu-alukan kehadiran semua ahli dan pemilik Mercedes-Benz yang menyertai perhimpunan berkenaan.
Beliau seterusnya menjelaskan penganjuran berkenaan bukan sekadar menghimpunkan pemilik kenderaan klasik, malah bertujuan memperkukuh silaturahim dalam kalangan komuniti pemilik Mercedes-Benz W124 dan model Mercedes-Benz yang lain, di samping menjadi platform untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan teknikal serta memupuk semangat perpaduan melalui minat yang sama terhadap model ikonik berkenaan.
Pada masa yang sama, Yang Dipertua Kelab Benzer Brunei turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa penganjur dan para peserta atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sehingga program berkenaan berjaya dilaksanakan.
Beliau berharap perhimpunan seumpama berkenaan akan terus dianjurkan sebagai usaha memelihara legasi Mercedes-Benz W124 dan menarik minat generasi baharu terhadap model klasik yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.
Program diselajurkan dengan sesi fotografi, pameran kenderaan dan sesi santai yang membuka ruang kepada mereka bertukar pandangan mengenai penjagaan serta penyelenggaraan Mercedes-Benz W124.
Selain itu, program berkenaan juga menjadi wadah mengeratkan lagi jaringan persahabatan dalam kalangan ahli Kelab Benzer Brunei dan komuniti pemilik Mercedes-Benz di negara ini.
Adapun perhimpunan kali ini mencatat penyertaan sebanyak 35 buah Mercedes-Benz, termasuk 18 buah Mercedes-Benz W124, sekali gus membuktikan model legenda berkenaan masih kekal diminati serta mempunyai komuniti pemilik yang aktif dan kukuh di Negara Brunei Darussalam.