Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. - Para jemputan menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas peluang menghadiri Majlis Persantapan Diraja yang disifatkan sebagai satu penghormatan besar serta detik penuh bermakna untuk bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.
Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi acara kemuncak sambutan Hari Keputeraan baginda, malah turut menjadi wadah bagi rakyat dan para tetamu kenamaan menzahirkan rasa syukur, kasih sayang, kesetiaan serta penghormatan yang mendalam terhadap raja yang dikasihi.
Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani, menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan sempena Hari Keputeraan baginda. Beliau memulakan ucapannya dengan serangkap pantun sebagai tanda doa dan penghormatan kepada baginda:
“Bunga kenanga mekar berseri, Harum mewangi di taman istana, Dirgahayu Kebawah Duli, Semoga sentiasa sihat dan sejahtera”.
Menurut beliau, menghadiri Majlis Persantapan Diraja di Istana Nurul Iman merupakan satu penghormatan besar. Setelah mula bertugas di NBD pada Julai tahun lalu dan berpeluang menghadiri majlis berkenaan buat pertama kali, beliau sekali lagi berasa bertuah dapat bersama meraikan sambutan yang penuh bermakna itu pada tahun ini.
Beliau turut menyifatkan hubungan antara NBD dan Republik India sebagai amat istimewa, yang sekian lama terjalin menerusi perkongsian budaya, bahasa dan ekonomi. Menurutnya, kedua-dua negara terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pengajian tinggi, kesihatan, farmaseutikal serta rawatan perubatan berteknologi tinggi.
Dalam pada itu, beliau memuji keunikan serta kemurahan hati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa meraikan rakyat dan para tetamu daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Beliau berkata, peluang menyambut Hari Keputeraan baginda bersama-sama rakyat Brunei merupakan pengalaman yang amat istimewa dan sukar dilupakan. Menggambarkan NBD, beliau mengaitkan setiap huruf perkataan ‘BRUNEI’ sebagai lambang keistimewaan negara, iaitu Beautiful, Respectful, Unique, Noteworthy, Enigmatic dan Incredible, yang mencerminkan imej positif negara di mata masyarakat antarabangsa. Beliau turut mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan usia yang panjang serta kesihatan yang berpanjangan.
Sementara itu, Penghulu Mukim Tanjong Maya, Awang Mohd. Azaman Shah bin Haji Sahari, merafakkan sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80.
Beliau berkata, seluruh penduduk Mukim Tanjong Maya sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar baginda terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, keberkatan usia serta kekal memerintah negara dengan penuh keadilan, kebijaksanaan dan rahmat demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, sepanjang pemerintahan baginda, Mukim Tanjong Maya telah menikmati pelbagai kemajuan hasil dasar pembangunan negara yang berterusan. Antaranya termasuk peningkatan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih, telekomunikasi dan kemudahan awam yang telah meningkatkan taraf hidup penduduk.
Beliau turut menjelaskan bahawa sektor pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat terus diperkasakan melalui penyediaan institusi pendidikan, perkhidmatan kesihatan yang berkualiti serta pelbagai bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Tambah beliau, keamanan dan kestabilan yang dinikmati negara membolehkan masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu. Pada masa yang sama, Majlis Perundingan Mukim dan Majlis-Majlis Perundingan Kampung terus aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, keagamaan, kesukarelawanan dan pembangunan belia berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Bagi Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang Kawasan 1 dan Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang Kawasan 2, Awang Mohammad Sahan bin Mumtazali, kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan di bawah naungan pemerintahan Kebawah DYMM.
Beliau mendoakan agar Allah Subhanahu Wata’ala terus memelihara baginda serta mengurniakan kesihatan yang berpanjangan dalam memimpin negara. Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan akar umbi melalui Majlis Perundingan Kampung sentiasa berusaha menyelaras pelbagai program pembangunan, sosial dan kebajikan bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi manfaat seluruh rakyat.
Turut berkongsi rasa syukur ialah Dayang Faridah Haji Awang Mohd. Taufik dan Dayang Fatima Az Zahra binti Abdullah yang menzahirkan doa agar Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan Kebawah DYMM usia yang panjang, kesihatan yang berpanjangan, kekuatan serta sentiasa berada di bawah limpah rahmat, taufik dan hidayah-Nya dalam terus menerajui NBD yang aman, makmur dan sentosa.
Pengiran Hajah Norhashimah binti Pengiran Haji Ibrahim pula melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menghadiri Majlis Persantapan Diraja. Beliau merafakkan sembah ucapan tahniah serta mendoakan agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan usia yang diberkati kerana menurutnya, Kebawah DYMM amat disayangi dan sentiasa dekat di hati seluruh rakyat.
Perasaan yang sama turut dikongsi oleh Pengiran Haji Kamarul Bahrin bin Pengiran Haji Ibrahim yang berharap Kebawah DYMM terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan serta kekal memimpin negara berlandaskan falsafah MIB.
Menurut beliau, Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 merupakan detik yang amat bermakna buat seluruh rakyat. Menjelang Sambutan Jubli Intan pemerintahan baginda pada tahun hadapan, rakyat akan terus menjunjung kasih atas kepimpinan seorang raja yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan, kebajikan dan kemakmuran rakyat.
Majlis Persantapan Diraja sekali lagi memperlihatkan hubungan erat antara raja dan rakyat yang berteraskan kasih sayang, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Bagi para jemputan, peluang meraikan Hari Keputeraan bersama Kebawah DYMM akan terus terpahat sebagai kenangan yang amat bermakna, sekali gus mencerminkan baginda sebagai seorang pemerintah berjiwa rakyat serta lambang perpaduan NBD.