10 maut, bas pelancong terbalik di tenggara Brazil

17 Og 2026 - 10:34am

RIO DE JANEIRO, 17 Ogos. - Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selepas sebuah bas pelancong terbalik awal Ahad berhampiran bandar Petropolis di tenggara Brazil, Rio de Janeiro, kata jabatan bomba negeri, lapor Xinhua.

Nahas berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi waktu tempatan ketika bas yang membawa puluhan pelancong itu dalam perjalanan menuruni jalan pergunungan berhampiran Petropolis, menurut buletin jabatan bomba.

Lapan mangsa maut ditemukan sebaik anggota bomba tiba di tempat kejadian dan mereka yang cedera dibawa ke beberapa hospital berdekatan. Dua orang lain meninggal dunia akibat kecederaan.

Datuk Bandar Petropolis Hingo Hammes menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan jalan raya yang serius dan melancarkan operasi menyelamat berskala besar melibatkan pasukan perubatan kecemasan, bomba dan Polis Lebuhraya Persekutuan.

Polis Lebuhraya Persekutuan Brazil berkata bas itu berlepas dari Belo Horizonte, ibu negeri jiran Minas Gerais, dan sedang menuju ke pantai di bandar Rio de Janeiro.

Polis telah melancarkan siasatan berhubung punca nahas. Bahagian jalan di mana kemalangan itu berlaku dibuka semula selepas ditutup hampir empat jam. - ©BERNAMA