MANILA, 13 Julai. - Gabungan 14 negara pada Ahad memperingati ulang tahun ke-10 keputusan timbang tara bersejarah mengenai Laut China Selatan (LCS), sambil menegaskan semula bahawa keputusan itu kekal mengikat di sisi undang-undang.
Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), Filipina dan 13 negara lain dalam kenyataan bersama sempena sedekad keputusan bersejarah itu mengulangi komitmen terhadap "Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, aman, stabil serta berasaskan peraturan".
Negara lain ialah Australia, Kanada, Estonia, Republik Persekutuan Jerman, Republik Itali, Jepun, Latvia, Lithuania, New Zealand, Romania, Slovenia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Negara terbabit berkata keputusan tribunal timbang tara pada 12 Julai 2016 yang ditubuhkan mengikut Lampiran VII Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) kekal "muktamad, mengikat di sisi undang-undang dan konklusif antara China dengan Filipina" berhubung hak maritim serta tuntutan yang terkandung dalam kes itu.
Kenyataan bersama berkenaan menegaskan bahawa pertikaian maritim mesti diselesaikan secara aman dan selaras dengan UNCLOS, selain menekankan kepentingan melindungi kebebasan pelayaran dan penerbangan serta penggunaan laut lain yang sah mengikut undang-undang antarabangsa. Republik Filipina membawa kes timbang tara itu ke Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2013.
Negara penandatangan turut menyatakan bantahan terhadap "sebarang tindakan yang menggugat kestabilan atau tindakan sepihak, termasuk penggunaan kekerasan atau paksaan, yang mengancam keamanan dan kestabilan di rantau itu".
Mereka juga membantah penggunaan kapal pengawal pantai, tentera dan militan maritim "untuk mengganggu, menghalang atau menakut-nakutkan operasi sah negara lain di laut atau udara", sambil memberi amaran bahawa tindakan sedemikian membahayakan anggota serta nelayan dan menjejaskan keamanan serta keselamatan serantau.
Kesemua 14 negara menggesa pihak-pihak berkaitan supaya mematuhi keputusan timbang tara 2016 dan menyelesaikan pertikaian secara aman menerusi dialog serta mekanisme sah lain yang selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Mereka turut mengulangi sokongan terhadap visi ASEAN untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai "lautan keamanan, kestabilan, kerjasama dan kemakmuran yang dipacu oleh kegiatan perdagangan sah yang rancak". - ©BERNAMA