LISBON, 18 Ogos. - Dua kanak-kanak perempuan Palestin yang masing-masing kehilangan sebelah kaki akibat pengeboman Israel di Semenanjung Gaza tiba di Portugal pada Isnin untuk menerima pemasangan anggota prostetik dan rawatan pemulihan secara percuma, menurut pertubuhan kemanusiaan, lapor Xinhua.
Dima Qudaih, 16, dan Malak Alshirafa, 7, tiba di Lapangan Terbang Porto bersama anggota keluarga masing-masing. Mereka tiba menerusi Republik Arab Mesir, tempat kedua-duanya ditempatkan sejak dipindahkan keluar dari Gaza.
Dima akan menerima rawatan di Hospital da Prelada di Porto, manakala Malak akan menjalani rawatan di Pusat Perubatan Pemulihan Alcoitao berhampiran Lisbon. Pasukan pakar perubatan akan menyediakan rawatan pemulihan harian serta memasang anggota prostetik untuk kedua-dua kanak-kanak itu.
Pihak berkuasa Portugal memberikan visa yang membolehkan mereka dan keluarga masing-masing tinggal di negara itu sepanjang tempoh rawatan, yang dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga setahun bergantung kepada kemajuan pemulihan.
Inisiatif itu dianjurkan HEAL Palestine dengan kerjasama kumpulan Portugal, Parents for Peace dan Support Group for Palestinian Refugees in Portugal. HEAL Palestine membantu mengatur rawatan perubatan di luar negara bagi kanak-kanak Palestin dan pesakit lain yang tidak dapat menerima rawatan sewajarnya di Gaza.
“Portugal telah membuka pintu yang hanya sedikit negara bersedia untuk membukanya,” kata Pengarah Eksekutif HEAL Palestine Steve Sosebee.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan kemanusiaan berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai jumlah besar kanak-kanak yang cedera parah atau kehilangan anggota badan akibat konflik di Gaza, ketika kerosakan meluas terhadap sistem kesihatan wilayah itu mengehadkan akses kepada pembedahan, rawatan pemulihan dan perkhidmatan prostetik. - ©BERNAMA