EU: Pelan penempatan E1 jelas jejas prospek penyelesaian dua negara

25 Og 2026 - 9:57am

BRUSSELS, 25 Ogos. - Kesatuan Eropah (EU) berkata tindakan kerajaan Israel mengeluarkan tender bagi pembinaan lebih 1,200 unit kediaman di bawah projek penempatan penjajah di kawasan E1 secara asasnya menjejaskan prospek penyelesaian dua negara.

Dalam kenyataan Wakil Tinggi EU mengenai pelan penempatan E1 Israel di Tebing Barat, blok itu menyatakan bahawa pelaksanaan pelan E1 akan membahagikan Tebing Barat kepada dua dan mengasingkan Baitulmuqaddis Timur, sekali gus menjejaskan lagi daya maju sebuah negara Palestin.

"Pendirian EU jelas: penempatan Israel di Tebing Barat, termasuk di kawasan E1, adalah menyalahi undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu, lapor agensi berita Palestin WAFA.

EU menggesa Israel menarik balik tender itu, menghentikan pelan E1 dan semua projek peluasan penempatan penjajah lain serta memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap keganasan peneroka dipertanggungjawabkan.

EU mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap keamanan menyeluruh, adil dan berkekalan berasaskan penyelesaian dua negara selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan dua negara demokratik, Israel dan Palestin, hidup berdampingan secara aman dan selamat dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf.

EU memaklumkan bahawa perkembangan itu berlaku ketika ketidakstabilan semakin meningkat di Tebing Barat dan keganasan peneroka haram mencapai tahap tertinggi yang pernah direkodkan.

Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin, serangan peneroka haram Israel yang dianggap pengganas meningkat mendadak dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026 kepada 4,113 berbanding 2,524 dalam tempoh sama pada 2025, peningkatan sebanyak 1,589 serangan atau 63 peratus.

Suruhanjaya itu pada Isnin memaklumkan jumlah serangan pada 2026 melebihi angka yang direkodkan pada setiap bulan dalam tempoh sama tahun sebelumnya tanpa pengecualian.

Jumlah tertinggi direkodkan pada Jun dan Julai, masing-masing sebanyak 748 dan 798 serangan, berbanding 442 dan 466 serangan pada bulan sama pada 2025. - ©BERNAMA