Istana Edinburgh jadi lokasi majlis pembukaan Tour de France 2027

20 Okt 2026 - 9:27am

LONDON, 20 Okt. - Istana Edinburgh di Scotland akan menjadi lokasi bagi majlis pembukaan perlumbaan berbasikal berprestij Tour de France 2027, dengan tiket dijadual mula dijual kepada orang ramai minggu depan, menurut pengumuman penganjur pada Isnin, lapor PA Media-dpa.

Majlis itu akan berlangsung di kawasan lapang Esplanade di istana berkenaan pada 30 Jun, dengan menampilkan para pelumba yang bakal bersaing dalam edisi ke-114 perlumbaan  bagi kategori lelaki itu.

Acara berkenaan akan memberi peluang kepada peminat untuk mengenali pelumba basikal elit dunia bersama pasukan masing-masing menjelang pelepasan rasmi perlumbaan, atau Grand Départ, dari Edinburgh pada 2 Julai.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan Royal Edinburgh Military Tattoo yang menampilkan tarian tradisional Highland, gabungan persembahan begpaip dan gendang, serta muzik baharu yang digubah khas untuk acara berkenaan.

Perlumbaan yang bermula di Edinburgh pada 2 Julai itu bakal mencatat sejarah sebagai edisi pertama Tour de France yang memulakan perlumbaan dari Scotland sepanjang 120 tahun penganjurannya.

Kelompok utama pelumba atau peloton akan melalui Royal Mile sebelum menuju ke selatan merentasi Innerleithen di kawasan Scottish Borders, kemudian meneruskan perjalanan ke Carlisle melalui Dumfries dan Galloway.

Laluan perlumbaan seterusnya merentasi Lake District menuju ke Liverpool sebelum memasuki Wales, dengan perlumbaan berakhir di Cardiff.

Tiket bagi majlis pembukaan itu akan mula dijual kepada orang ramai pada Jumaat, 30 Oktober, dengan harga bermula £27 (US$36). - ©BERNAMA