KPMG Australia bakal kurangkan ratusan pekerja susulan skandal kebocoran audit

24 Og 2026 - 12:56pm

SYDNEY, 24 Ogos. - Cawangan antarabangsa firma perakaunan dan perundingan KPMG di Australia pada Isnin berkata ia akan mengurangkan ratusan pekerjaan selepas hasil merosot susulan skandal kebocoran audit, lapor Xinhua.

KPMG Australia mencatatkan jumlah hasil A$2.26 bilion (US$1.6 bilion) bagi tahun kewangan 2025-26, susut 0.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Firma itu berkata hasil meningkat dalam empat daripada lima bahagiannya, namun hasil perundingan merosot 16.9 peratus selepas KPMG dilarang memperoleh kontrak kerajaan baharu susulan penyalahgunaan maklumat sulit pelanggan.

Sehubungan itu, KPMG Australia merancang mengurangkan kira-kira lima peratus tenaga kerja, membabitkan 360 pekerja dan 27 rakan kongsi.

“Kita perlu jelas mengenai prospek semasa. Kami menjangkakan keadaan pasaran yang mencabar akan berterusan pada tahun kewangan 2027 dan seterusnya.

“Pertumbuhan ekonomi dijangka kekal sederhana sekurang-kurangnya sehingga 2028, sekali gus menjejaskan pelaburan pelanggan dan memanjangkan tempoh membuat keputusan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif John Sams dalam satu kenyataan.

Pada Mac, Senator Deborah O'Neill mendedahkan di Parlimen dakwaan daripada seorang pemberi maklumat bahawa rakan kongsi KPMG berulang kali menggunakan maklumat sulit pelanggan untuk mendapatkan kontrak audit.

Pada Mei, firma itu berkata ia mengetahui dakwaan berkenaan sejak 2024 dan mengakui siasatan dalamannya tidak dibuat secara menyeluruh.

O'Neill memberitahu jawatankuasa siasatan Parlimen mengenai dakwaan itu pada awal Ogos bahawa lebih ramai pemberi maklumat tampil membangkitkan kebimbangan berhubung salah laku di KPMG. - ©BERNAMA