ISTANBUL, 25 Ogos. - Lebih 21,500 kanak-kanak Palestin terkorban akibat serangan Israel, manakala 1,244 daripada 1,275 masjid di Semenanjung Gaza menjadi sasaran tentera rejim sejak perang bermula pada Oktober 2023, lapor Anadolu Ajansi memetik Pejabat Media Kerajaan di wilayah itu pada Isnin.
Pejabat itu memaklumkan bahawa tentera Israel secara sistematik menyasarkan orang awam, kediaman dan rumah ibadat sepanjang serangan genosid Israel di Gaza.
Menurut pejabat itu, 1,077 daripada masjid berkenaan musnah sepenuhnya.
Pejabat itu mengecam tindakan berterusan menyasarkan orang awam, kanak-kanak dan rumah ibadat serta menggesa pihak pengantara supaya mendesak Israel menghentikan pelanggaran gencatan senjata dan mematuhi sepenuhnya perjanjian itu.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Israel sekali lagi mengancam untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza susulan insiden layang-layang dari Gaza yang sampai ke Israel, walaupun tentera Israel pada Sabtu berkata empat layang-layang yang ditemukan berhampiran Gaza tidak mengandungi bahan mencurigakan dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
Lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 174,000 yang lain cedera dalam serangan kejam Israel sejak Oktober 2023. - ©BERNAMA