Majoriti rakyat Jepun sokong kekalkan tiga prinsip bukan nuklear - Tinjauan

11 Og 2026 - 11:26am

TOKYO, 11 Ogos. - Majoriti rakyat Jepun menyokong supaya negara itu terus mengekalkan dan mematuhi tiga prinsip bukan nuklear, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik tinjauan pendapat awam oleh NHK.

Kerajaan Jepun secara tradisinya berpegang kepada tiga prinsip bukan nuklear, iaitu 'tidak memiliki, tidak menghasilkan dan tidak memperkenalkan senjata nuklear'.

Sehubungan itu, Amerika Syarikat (AS) tidak menempatkan senjata nuklear di pangkalannya di Jepun, manakala kapal perang yang dilengkapi senjata nuklear tidak memasuki pelabuhan negara itu.

Bagaimanapun, persoalan sama ada prinsip berkenaan perlu disemak semula atau sekurang-kurangnya dibincangkan semakin mendapat perhatian dalam perdebatan awam.

Perbincangan itu kebanyakannya tertumpu kepada prinsip 'tidak memperkenalkan senjata nuklear', dengan penyokong semakan berpendapat pengecualian boleh dibuat dalam keadaan darurat.

Sebanyak 59 peratus responden menyokong 'mengekalkan tiga prinsip bukan nuklear', manakala 33 peratus menentang dan lapan peratus lagi tidak membuat keputusan.

NHK berkata tinjauan itu dijalankan dari 7 hingga 9 Julai menggunakan kaedah persampelan telefon secara rawak dengan bantuan komputer, membabitkan 1,205 responden berusia 18 tahun ke atas. Tiada margin ralat dinyatakan. - ©BERNAMA