NEW DELHI, 26 Ogos. - Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa kerajaan Republik India melancarkan perkhidmatan kereta api khas untuk mengangkut bekalan bawang ke pelbagai negeri dan bandar susulan kenaikan harga yang mendadak sejak beberapa hari lepas.
Harga bawang di bandar utama termasuk New Delhi, Mumbai, Ahmedabad, Jaipur dan Patna, telah meningkat kepada antara 40 hingga 60 rupee India (kira-kira AS$0.62) sekilogram sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Bekalan bawang yang dibawa oleh kereta api khas itu akan memastikan bawang dijual pada harga 35 rupee India sekilogram di kedai-kedai runcit.
Dikenali sebagai 'Kanda Express', (kanda bermaksud bawang dalam bahasa Marathi) kereta api khas tersebut akan mengangkut bawang dari negeri Maharashtra di barat daya Republik India, yang terkenal dengan penanaman bawang secara meluas, ke pelbagai wilayah lain di negara itu.
Menurut laporan media, hampir 800 tan metrik bawang dijangka dihantar ke ibu negara, New Delhi, dari kawasan Lasalgaon di Maharashtra.
'Kanda Express' dijangka tiba di New Delhi pada Rabu. - ©BERNAMA