Thomas Tuchel : England perlu jadi berani menentang Norway

12 Jul 2026 - 9:39pm

LONDON, 11 Julai. - Thomas Tuchel mahu England menunjukkan keberanian dan menamatkan aksi suku akhir Piala Dunia menentang Norway tanpa sebarang kekesalan, ketika perjuangan mereka untuk 'membawa pulang bola sepak' (bring football home) berlanjutan, lapor PA Media/dpa.

Selepas memulakan fasa kalah mati dengan detik mencemaskan berdepan Republik Demokratik Congo, naib juara Euro 2024 itu berjaya mengatasi pelbagai rintangan untuk memenangi perlawanan pusingan 16 mereka di Mexico.

Tuchel menyifatkan kemenangan mendebarkan 3-2 itu sebagai 'satu pakej pengalaman yang lengkap', namun kejayaan di sebalik kesukaran itu telah berlalu dan England kini mengalihkan fokus kepada pertemuan dengan Norway pada Sabtu. 

Cuaca panas, kelembapan tinggi, serta tugas penting untuk mengekang Erling Haaland adalah antara cabaran yang menanti pasukan itu di Miami, di mana pengendali dari Republik Persekutuan Jerman tersebut mahu para pemainnya melonjakkan prestasi ke satu tahap yang lebih tinggi.

"Saya rasa secara amnya apa yang diperlukan dalam pusingan 32 dan pusingan 16, bagaimana kami menyampaikannya kepada pasukan adalah, ia hanyalah tentang bagaimana anda mencari jalan untuk menang," kata Tuchel menjelang pertembungan di Stadium Hard Rock.

"Bagi saya ini bahagian yang menarik, tetapi kami perlu melupakan apa yang telah berlalu, kami perlu menyesuaikan diri dengan identiti kami semula, fokus kepada apa yang menjadikan kami kuat, bertindak agresif dan berani. Kami perlu berani sekarang.

"Ia peringkat suku akhir dan mereka yang berani akan beroleh tuah di pihak mereka. Malah, kami tidak boleh mempunyai sebarang kekesalan apabila beraksi di suku akhir. Kami perlu memberikan segala-galanya, ini perkara yang paling penting."

Ganjaran (jika memenangi suku akhir) ialah aksi separuh akhir di Atlanta menentang juara bertahan Argentina atau Switzerland menanti, sekiranya England berjaya menghidupkan impian mereka untuk 'membawa pulang bola sepak' (bringing football home).

Sudah 30 tahun berlalu sejak frasa tersebut menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Inggeris, dan dua kali ganda tempoh itu sejak skuad bimbingan Alf Ramsey menjulang trofi Piala Dunia.

"Saya faham,” kata Tuchel berhubung kata-kata 'football’s coming home'".

"Saya sangat memahaminya. Dan kami mahu menjadikannya satu kenyataan." - ©BERNAMA