Berita dan Foto : Ihsan Persekutuan Radio Amatur Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Persekutuan Radio Amatur Brunei Darussalam (BDARA) telah mengadakan Latihan ARDF Slalom Fox Hunting (Amateur Radio Direction Finding atau Penentuan Arah Radio Amatur) iaitu sejenis sukan radio yang menggabungkan aktiviti penentuan arah radio dengan kemahiran menggunakan peta dan kompas.
Seramai 19 ahli Persekutuan BDARA menyertai latihan berkenaan yang berlangsung di Grand Stand Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Kampung Mata-Mata.
Para peserta bergerak merentasi kawasan berhutan sambil mencari pemancar radio dengan menggunakan peta topografi dan kompas magnetik.
Hadir pada latihan tersebut ialah Presiden Persekutuan BDARA, Mejar (B) Awang Haji Tamat bin Haji Lampoh dan Timbalan Presiden Persekutuan BDARA, Awang Haji Abd. Jamal bin Haji Abd. Rahman.
Aktiviti tersebut dikendalikan buat kali pertama oleh Persekutuan BDARA dengan tujuan bagi menambah ilmu pengetahuan tentang kedudukan pencarian / pemancar gelombang frekuensi di kalangan ahli-ahli BDARA sendiri serta persiapan bagi membantu Acara Jota Joti yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.