Kajian Tenaga Kerja giat dilaksanakan seluruh negara

14 Okt 2026 - 5:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri sedang mengendalikan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2026 seluruh negara bermula pada 5 Oktober hingga 1 November 2026.

Tujuan KTK ini diadakan adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain-lain ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja.

KTK 2026 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam. JPES ingin memberikan jaminan kepada semua isi rumah terpilih yang diliputi dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak BND4,000.

KTK 2026 akan melibatkan kira-kira 3,200 buah isi rumah terpilih di seluruh negara. Pegawai kajian yang dilantik oleh jabatan ini akan menjalankan temu duga bersemuka menggunakan Computer Assisted Personal Interview (CAPI).

Bagi memastikan keselamatan orang ramai, sila sahkan identiti pegawai kajian dengan memeriksa pas kajian, surat lantikan, kad pengenalan serta vest rasmi JPES.

Isi rumah akan menerima surat makluman rasmi mengenai tujuan kajian. Pegawai kajian tidak akan meminta sebarang bayaran, kata laluan peribadi, butiran akuan bank, atau sebarang maklumat kewangan.

Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2026 bolehlah dirujuk melalui talian telefon dan WhatsApp +673 7469844 (Isnin hingga Khamis dan Sabtu, pukul 7.45  pagi - 4.30  petang) atau e-mel labourforce.survey@jpes.gov.bn atau laman sesawang www.deps.gov.bn.