Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
GADONG, Sabtu, 31 Oktober. - Seramai 59 murid Sekolah Ugama Beribi Gadong (sesi pagi), termasuk dua murid berkeperluan khas, menerima sijil dalam Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi Darjah VI Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang diadakan di Dewan Fathul Busyra, sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah mantan Guru Besar Sekolah Ugama Beribi Gadong, Dayang Hajah Jamaliah binti Haji Yassin, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penerima.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti Bacaan Surah Al-Mulk, ayat 1 hingga 15 oleh Awang Muhammad Waqqash Haqimie bin Muhammad Redhawudeen. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Beribi Gadong, Dayang Hajah Rosita binti Haji Abd. Rahman.
Turut diisikan, persembahan tausyeh, penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan, penyampaian hadiah pelajar cemerlang tahun 2025 serta cenderahati kepada guru-guru Darjah VI tahun 2025 sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Haji Muhammad Izzat bin Haji Ramlee.
Penganjuran majlis ini merupakan wadah bagi mengiktiraf pencapaian akademik pelajar serta menghargai sokongan ibu bapa dan komitmen guru dalam membimbing mereka mencapai kejayaan. Pengiktirafan tersebut turut menjadi dorongan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pendidikan ugama.