74 pelajar SU Antarabangsa Jerudong terima sijil

17 Okt 2026 - 6:29am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Azmah Haji Ahad

JERUDONG, Jumaat, 16 Oktober. - Sejak penubuhan sekolah ugama secara formal tujuh dekad yang lalu, dalam tahun 1956, di bawah kepimpinan bijaksana Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang berpandangan jauh, kita dapat menyaksikan dan merasa sendiri kesan dan impak positif amalan berugama dalam kehidupan seharian masyarakat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam (NBD) pada hari ini.

Kehidupan rukun damai yang kita nikmati sekian lama adalah hasil dan natijah dari tarbiah serta keberkatan pendidikan ugama yang diberikan kepada rakyat dan penduduk di negara ini, khususnya pendidikan asas ugama yang diajarkan secara formal melalui sekolah-sekolah ugama kepada anak-anak dari sejak usia kecil lagi.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad semasa menyampaikan ucapannya pada Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi Darjah VI Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang diadakan di Art Centre, Jerudong International School (JIS).

Matlamat pendidikan ugama jelasnya, adalah agar ia akan memupuk kefahaman ajaran ugama Islam serta menanamkan nilai-nilai akhlak terpuji melalui pengamalan ajaran-ajaran Islam dalam diri setiap murid dan juga masyarakat umumnya.

Justeru, peranan setiap sekolah ugama adalah untuk memberikan asas pengetahuan ugama yang betul, mencorak akhlak dan budi pekerti yang mulia, serta mendidik jiwa anak-anak untuk menjauhi perbuatan yang tidak disukai dan dilarang oleh ajaran Islam dengan hasrat setiap lulusan dari sekolah ugama akan dapat mengamalkan dan mempraktikkan ajaran-ajaran murni agama Islam dalam kehidupan mereka.

Hasrat ini adalah bertepatan dengan titah Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ketika menubuhkan sekolah ugama pada 16 September 1956.

''Alhamdulillah, persekolahan ugama di NBD sejak sekian lama telah menyumbang dengan berkesan kepada kemantapan kehidupan berugama di negara ini, sehingga dapat melahirkan generasi demi generasi, silih berganti yang berpegang teguh kepada ajaran-ajaran agama Islam berlandaskan akidah Ahli Sunnah Waljamaah dan dapat menjamin kehidupan bernegara dan bermasyarakat dalam keadaan aman damai, harmoni dan sejahtera.

''Saya difahamkan bahawa majlis yang diadakan pada hari ini adalah sebagai tanda kesyukuran dan pengiktirafan kepada pencapaian para pelajar yang telah berjaya dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama Brunei bagi Tahun 2025. Inisiatif seumpama ini menunjukkan rasa pemedulian dan mencerminkan keprihatinan pihak sekolah dalam menghargai usaha tekun dan gigih yang telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar sekalian,'' terang beliau.

Selain meningkatkan amalan, beliau turut menyeru supaya pelajar-pelajar akan sentiasa menjaga maruah ugama, nama baik ibu bapa serta keluarga, bangsa dan negara dan menghindarkan dari terlibat dengan gejala-gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas tanpa batasan dan apa jua aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral, yang setentunya tidak memberi apa-apa manfaat bahkan akan mendatangkan mudarat.

Oleh itu, tegasnya lagi, amalkan ilmu ugama yang dipelajari itu untuk kebaikan masa hadapan pelajar-pelajar sekalian dan jadikan ilmu ugama sebagai panduan sepanjang masa, duniawi dan ukhrawi.

Seramai 74 pelajar Sekolah Ugama JIS menerima sijil dalam Majlis Penyampaian SSSRU bagi Darjah VI Tahun 1447H / 2025M yang diadakan petang tadi.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti persembahan tausyeh Qalamun Qadim dan hafazan Surah Al-Mulk. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Ugama JIS, Dayang Hajah Noraidah binti Haji Tengah dan diikuti dengan ucapan Pengetua JIS, Nicholas Sheehan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan slaid dan tausyeh, diikuti penyampaian sijil kepada para pelajar oleh tetamu kehormat majlis. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Awang Mohd. Norisham bin Haji Kamis diikuti dengan sesi bergambar ramai.

Penganjuran majlis ini merupakan wadah untuk mengiktiraf pencapaian akademik para pelajar, di samping menghargai sokongan ibu bapa serta komitmen guru dalam membimbing mereka mencapai kejayaan. Pengiktirafan ini juga diharap dapat menjadi dorongan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pendidikan ugama.