Makan Fest 2.0 meriahkan Stadium Negara Hassanal Bolkiah

17 Okt 2026 - 6:36am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Muhammad Hasif Matzin

BERAKAS, Jumaat, 16 Oktober. - Makan Fest 2.0 yang berlangsung dari 14 hingga 18 Oktober 2026 di Kawasan Letak Kereta Lot 'K', Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, terus menjadi platform yang menghimpunkan para peniaga makanan dan minuman serta pengunjung dalam suasana santai dan mesra keluarga.

Sebanyak lebih 100 petak jualan disediakan pada edisi kali ini, dengan kira-kira 80 peratus daripadanya diisi oleh peniaga tempatan, manakala selebihnya terdiri daripada peniaga dari Malaysia. Kepelbagaian penyertaan ini menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman dari Negara Brunei Darussalam dan Malaysia untuk dinikmati oleh para pengunjung.

Dianjurkan oleh L&R Co dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Berakas 'A', Makan Fest 2.0 bukan sahaja menyediakan ruang bagi orang ramai menikmati aneka sajian, malah turut membuka peluang kepada para peniaga untuk memperkenalkan serta menjual produk masing-masing kepada orang ramai.

Majlis pembukaan rasmi acara berkenaan disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok.

Selain menawarkan pelbagai jualan makanan dan minuman, acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan pentas, termasuk persembahan  live band  oleh Jabatan Penjara, sekali gus menambah kemeriahan suasana sepanjang acara berlangsung.

Makan Fest 2.0 dibuka bagi kunjungan orang ramai dari pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam hingga Ahad ini. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung dan menyokong para peniaga yang mengambil bahagian.

Maklumat terkini mengenai acara dan persembahan boleh didapati melalui akaun media sosial rasmi Instagram dan TikTok Makan Fest Brunei.