Penyakit kardiovaskular punca utama kematian di NBD

17 Okt 2026 - 6:39am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Mohamad

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

JERUDONG, Jumaat, 16 Oktober. - Penyakit kardiovaskular terus menjadi antara punca utama kematian di Negara Brunei Darussalam (NBD) berikutan statistik terkini yang merekodkan sebanyak 2,001 kematian pada tahun 2025, berbanding 1,974 kematian pada tahun 2024.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berucap demikian pada Majlis Pembukaan Kongres Persekutuan Kardiologi ASEAN 2026 (AFCC 2026) yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, penyakit-penyakit jantung,  serebrovaskular dan  hipertensi secara keseluruhannya menyumbang kepada 545 kematian pada tahun 2025, iaitu kira-kira 27 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian dan ia menjadikan penyakit kardiovaskular sebagai punca utama kematian di NBD, diikuti oleh kanser yang mencatatkan sebanyak 20 peratus atau  399 kematian.

Angka-angka tersebut jelas Yang Berhormat, mengukuhkan lagi keperluan untuk mempertingkatkan usaha pencegahan, pengesanan awal dan penjagaan berterusan yang berkesan bagi mereka yang memerlukannya.

''Pencegahan kekal sebagai teras pendekatan kita. Dalam mesej saya sempena Hari Jantung Sedunia baru-baru ini, saya telah mengetengahkan tema, 'Penyakit Jantung Boleh Berlaku Tanpa Disedari : Jangan Abaikan Sebarang Petanda'.

''Ramai individu mungkin berasa sihat walaupun sebenarnya menghidap hipertensi, diabetes atau mempunyai paras kolesterol tinggi yang belum didiagnosis. Kepentingan pengesanan awal jelas terbukti melalui hasil saringan kita, apabila tiga daripada empat individu yang menjalani saringan menunjukkan keputusan tidak normal, manakala lebih daripada satu daripada empat individu menerima diagnosis baharu,'' terang Yang Berhormat.

Penemuan tersebut tambah Yang Berhormat lagi, menegaskan keperluan untuk menggalakkan masyarakat mengetahui petunjuk kesihatan masing-masing serta menjalani saringan pada waktunya bagi mencegah komplikasi.

Selaras dengan visi Kementerian Kesihatan  'Bersama-sama Ke Arah Negara yang Sihat', Yang Berhormat seterusnya menekankan, kita juga perlu memperkasa masyarakat dan menyokong perubahan ke arah gaya hidup sihat.

''Inisiatif BN on the Move menggunakan aplikasi BruHealth untuk menggalakkan aktiviti fizikal melalui pemantauan bilangan langkah dan cabaran komuniti. Panduan pemakanan dan makanan di sekolah, berserta langkah-langkah kawalan tembakau, turut menyokong usaha yang lebih menyeluruh untuk mengurangkan penyakit yang boleh dicegah,'' ujar Yang Berhormat.

Usaha kolektif itu tambah Yang Berhormat, menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035, khususnya aspirasi untuk mencapai kualiti kehidupan yang tinggi bagi rakyat NBD.

Kongsi Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan sedang memperkukuh penjagaan kardiovaskular bersepadu yang berpusatkan pesakit, merangkumi keseluruhan perjalanan penjagaan pesakit, bermula daripada pencegahan dan saringan, sehinggalah kepada diagnosis, rawatan dan pengurusan jangka panjang.

Kesihatan digital dan penggunaan data secara berkesan dapat membantu menghubungkan setiap peringkat penjagaan ini, mengenal pasti jurang perkhidmatan serta memandu pengagihan sumber. Dalam usaha ini, jelas Yang Berhormat, rakan teknologi dan data kita, EVYD, telah menyokong beberapa inisiatif penting.

''Pertama, melalui BruHealth, iaitu aplikasi kesihatan kebangsaan yang membantu mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai. Pengguna boleh menilai risiko penyakit kardiovaskular, membuat tempahan saringan dan menerima keputusan melalui telefon masing-masing. Kemudahan temu janji susulan dan pengurusan ubat-ubatan turut membantu memastikan kesinambungan penjagaan kesihatan.

''Kedua, BruHIMS 2.0 serta integrasinya dengan BruHealth menyokong pendekatan 'seorang pesakit, satu rekod'. Pendekatan ini membolehkan maklumat berkaitan diakses sepanjang perjalanan penjagaan pesakit, sekali gus menyokong perancangan yang lebih baik dan penyelarasan penjagaan yang lebih berkesan.

''Bersama-sama EVYD, kita juga telah membangunkan daftar penyakit kardiovaskular kebangsaan bagi menyokong pemantauan, perancangan berasaskan data dan pelaksanaan tindakan terhadap keutamaan dasar kita,'' kongsi Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, di NBD, kita turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Melalui program CARDIO4Cities kendalian Novartis Foundation, kita telah membangunkan papan pemuka pemantauan dan penilaian untuk mengenal pasti individu yang berisiko menghidap hipertensi, diabetes, obesiti dan mempunyai paras kolesterol tinggi.

Fasa seterusnya adalah untuk menterjemahkan maklumat dan penemuan tersebut kepada tindakan bersasar yang dapat memperkukuh pencegahan, tindakan susulan dan pengurusan faktor risiko, khususnya bagi individu yang menghadapi risiko paling tinggi terang Yang Berhormat.

Kecerdasan Buatan (AI) juga tambah Yang Berhormat, menawarkan manfaat praktikal dalam bidang penjagaan kesihatan. Saringan retinopati diabetik berbantukan AI sudah digunakan di NBD, termasuk di Pusat Perubatan Jerudong Park. 

Perkara itu jelas Yang Berhormat, memperlihatkan bagaimana teknologi dapat membantu mengesan komplikasi dengan lebih awal dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit kronik. Di samping usaha pencegahan dan inovasi digital, kita terus memperkukuh perkhidmatan diagnostik dan rawatan jantung.

Ujar Yang Berhormat, kemajuan dalam pengimejan jantung dan teknologi diagnostik membolehkan penilaian dilakukan dengan lebih tepat dan pada masanya. Perkhidmatan ambulans kita juga kini dilengkapi dengan mesin elektrokardiogram (ECG) untuk membantu mengenal pasti tanda-tanda awal serangan jantung yang disyaki.

Langkah itu, ujar Yang Berhormat, menghubungkan penilaian kesihatan di peringkat komuniti dengan perkhidmatan kecemasan dan rawatan pakar, sekali gus menyokong keputusan klinikal yang lebih pantas serta penjagaan yang lebih terselaras, khususnya dalam situasi apabila setiap minit amat bermakna.

''Perluasan perkhidmatan kateterisasi jantung dan pembedahan jantung membolehkan prosedur jantung yang lebih kompleks dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam. Penggunaan makmal kateterisasi jantung (cathlab), termasuk prosedur Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI) dan penggunaan peranti MitraClip bagi kes-kes yang sukar, berpotensi memberikan peluang baharu kepada pesakit untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,'' kata Yang Berhormat.

Kemajuan dalam bidang pembedahan tambah Yang Berhormat, seperti Minimally Invasive Direct Coronary Artery Bypass (MIDCAB) dan Totally Endoscopic Coronary Artery Bypass (TECAB), telah membantu memendekkan tempoh kemasukan ke hospital dan meningkatkan pengalaman pesakit tanpa menjejaskan kadar kematian dan morbiditi.

Seiring dengan perkembangan perkhidmatan ini, Yang Berhormat seterusnya menekankan, pelaksanaannya perlu disokong oleh tadbir urus klinikal yang sewajarnya, pemilihan pesakit yang teliti, pasukan multidisiplin yang berkemahiran serta laluan penjagaan susulan yang jelas.

''Bagi pesakit yang sedang pulih selepas mengalami kejadian jantung atau menjalani prosedur rawatan, penjagaan perlu diteruskan selepas mereka dibenarkan pulang dari hospital. Pemulihan jantung, pematuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan dan pengurusan faktor risiko secara berterusan merupakan aspek penting bagi menyokong proses pemulihan dan mengekalkan kesihatan jangka panjang", jelas Yang Berhormat lagi.

Penyelarasan rapat antara hospital, Yang Berhormat menambah, perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dan perkhidmatan komuniti dapat membantu pesakit mengekalkan kemajuan pemulihan serta mencegah komplikasi yang boleh dielakkan.

Jelas Yang Berhormat, seiring dengan peningkatan usia penduduk dan pertambahan bilangan individu yang hidup lebih lama, permintaan terhadap penjagaan penyakit kronik dijangka terus meningkat. Usaha pencegahan dan penyampaian perkhidmatan yang diselaraskan dengan baik akan membantu kita memenuhi permintaan tersebut secara mampan.

''Adapun Kongres AFCC 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 18 Oktober itu anjuran Brunei Cardiac Society, bersempena dengan Mesyuarat Saintifik Tahunan Kali Ke-13, dan menghimpunkan lebih 700 profesional penjagaan kesihatan, termasuk pakar kardiologi tempatan dan antarabangsa.

''Kali terakhir NBD menjadi tuan rumah kongres berkenaan ialah pada tahun 2017. Kongres tersebut menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang kardiologi, termasuk pencegahan penyakit kardiovaskular, teknologi rawatan jantung terkini, pengimejan lanjutan dan penggunaan Kecerdasan Buatan dalam penjagaan kesihatan,'' kongsi Yang Berhormat.

Kongres berkenaan Yang Berhormat berharap dapat memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang amalan klinikal, penyelidikan, latihan dan inovasi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti penjagaan kardiovaskular di seluruh ASEAN.