Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
DONAUWÖRTH, REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN, Jumaat, 16 Oktober. - Kementerian Pertahanan telah menandatangani sijil Customer Acceptance Test (CAT) bagi kumpulan pertama helikopter Airbus H145M, bertempat di Delivery Docks, Airbus Helicopters Deutschland (AHD), Donauwörth.
Penandatanganan ini menandakan satu pencapaian penting dalam perolehan helikopter berkenaan, dengan penghantaran kumpulan tersebut ke Negara Brunei Darussalam (NBD) dijadualkan pada November 2026.
Setibanya di AHD, rombongan Kementerian Pertahanan yang diketuai oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof telah disambut oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif AHD, Stefan Thomé; Naib Presiden Kanan dan Ketua Rantau Asia Pasifik, Airbus Helicopters, Vincent Dubrule dan Naib Presiden dan Ketua Program H145M, Constance Pinsdorf.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Stefan Thomé, yang menegaskan semula komitmen AHD untuk menyokong kejayaan penghantaran helikopter H145M. Sijil CAT kemudiannya ditandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan oleh 944 Mejar (U) Mohammad Hazwan bin Husny, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), selaku Timbalan Ketua Integrated Project Team (IPT), manakala Constance Pinsdorf menandatangani bagi pihak AHD.
Penandatanganan tersebut disaksikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, serta Stefan Thomé.
Rombongan Kementerian Pertahanan turut disertai oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud serta pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan anggota IPT.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Persekutuan Jerman, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Krtini binti Pengiran Haji Mohd. Tahir.
Majlis diteruskan dengan penandatanganan Golden Book of Airbus dan pertukaran cenderamata, disusuli bacaan Doa Selamat oleh 1392 Kapten Pengiran Muhammad Nur Hafizan bin Pengiran Haji Hasan.
Selain majlis penandatanganan tersebut, rombongan Kementerian Pertahanan berkesempatan melawat Akademi Latihan Airbus Helicopters di Augsburg dan Donauwörth, di mana empat orang juruterbang TUDB membuat latihan penerbangan yang diketuai oleh 922 Mejar (U) Muhammad Adib bin Haji Hashim @ Haji Bakar, dan lapan orang teknisyen pesawat TUDB sedang mengikuti latihan di Donauwörth yang diketuai oleh 15078 Pegawai Waran Dua (U) Samsul bin Sablih.
Semasa lawatan tersebut, rombongan turut dialu-alukan oleh Matthieu Louvot, Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Helicopters.
Di bawah Projek Support Helicopter, kontrak bagi perolehan helikopter Airbus H145M telah ditandatangani pada 30 April 2024 antara Kementerian Pertahanan, bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan AHD bagi pembekalan enam buah helikopter Airbus H145M untuk menggantikan helikopter Bolkow BO-105 TUDB yang telah dinyahtauliahkan.
Helikopter H145M ini berupaya melaksanakan pelbagai misi, termasuk pengangkutan anggota tentera, peninjauan, pengawasan, bantuan udara jarak dekat, operasi khas serta operasi mencari dan menyelamat.