Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
TUTONG, Jumaat, 9 Oktober. – Autoriti Makanan Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Food Authority – BDFA) terus memperkukuh usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan, kebersihan serta kualiti makanan di negara ini sentiasa terjamin, termasuk melalui peluasan perkhidmatan ke Daerah Tutong dan Daerah Temburong.
Pengurus Kanan, Bahagian Premis Makanan BDFA, Awang Abang Muhammad Masrur bin Abang Zainuddin, semasa temu bual bersama Pelita Brunei, berkata BDFA merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1 Januari 2021 dan bertanggungjawab mengawal selia keselamatan serta kualiti makanan di Negara Brunei Darussalam (NBD) selaras dengan visi dan misi BDFA.
Jelasnya lagi, BDFA berperanan memastikan produk makanan yang berada di pasaran sentiasa selamat, bersih dan berkualiti, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan makanan, piawaian serta pelabelan makanan.
Tambahnya, antara fungsi utama BDFA adalah untuk terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan makanan, piawaian makanan serta pelabelan makanan bagi memastikan pengguna mendapat makanan yang selamat dan berkualiti.
Usaha berkenaan katanya lagi, turut dilaksanakan melalui pendidikan dan latihan kepada pengusaha makanan yang terlibat dalam pengendalian serta pembekalan makanan, dengan tujuan mengurangkan risiko pencemaran dan memastikan amalan keselamatan makanan sentiasa dipatuhi.
"Selain itu, BDFA bertanggungjawab mengawal selia aktiviti import dan eksport makanan, termasuk penghasilan, pemprosesan serta pengangkutan makanan bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan, daripada peringkat pembuatan, peruncitan dan pengedaran hingga kepada pengguna, adalah selamat dan teratur.
"Dalam memperluas akses pasaran, BDFA juga memainkan peranan dalam membantu dan memastikan kilang serta perusahaan makanan tempatan yang berhasrat menembusi pasaran eksport mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan makanan yang berkaitan.
"Di samping itu, BDFA turut menyelaras serta memberikan bantuan kepada pihak berkepentingan dalam memenuhi standard dan keperluan keselamatan makanan yang ditetapkan, sekali gus menyokong usaha berterusan untuk memelihara keselamatan dan kualiti makanan di negara ini," ujarnya lagi.
Awang Abang Muhammad Masrur seterusnya berkata, mulai 1 Julai 2026, BDFA mengambil alih tugas dan tanggungjawab berkaitan keselamatan makanan di Daerah Tutong dan Daerah Temburong dari Pejabat Kesihatan daerah berkenaan.
Langkah berkenaan jelasnya, merupakan sebahagian daripada usaha BDFA memperluas jangkauan perkhidmatannya supaya orang ramai, khususnya pengusaha makanan di kedua-dua daerah berkenaan, mendapat akses kepada perkhidmatan pemantauan, nasihat dan pendidikan mengenai keselamatan makanan.
Antara perkhidmatan yang disediakan katanya lagi, termasuk pemeriksaan kebersihan dan keselamatan makanan, aktiviti pemantauan serta pengambilan sampel makanan, khidmat nasihat, penyiasatan aduan dan insiden keselamatan makanan, serta Kursus Pengendalian Makanan.
BDFA juga jelasnya, melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai melalui kempen pendidikan, latihan dan kerjasama dengan agensi berkaitan serta pihak industri makanan untuk menggalakkan amalan pengendalian makanan yang selamat.
Dalam pada itu, Abang Muhammad Masrur menyeru semua pengendali makanan, sama ada pengusaha perniagaan mahupun individu yang menyediakan makanan di rumah, supaya sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam memastikan makanan yang disediakan selamat untuk dimakan.
Menurutnya, pengendali makanan disarankan mengamalkan lima langkah utama keselamatan makanan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu menjaga kebersihan, mengasingkan makanan mentah daripada makanan yang telah dimasak, memastikan makanan dimasak sepenuhnya, menyimpan makanan pada suhu yang selamat serta menggunakan air dan bahan mentah yang bersih dan selamat.
Beliau menegaskan bahawa amalan berkenaan perlu dijadikan kebiasaan dalam setiap peringkat penyediaan dan pengendalian makanan bagi mengurangkan risiko pencemaran serta melindungi kesihatan pengguna.
"Keselamatan makanan adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap langkah yang berpandukan sains akan menjadikan makanan kita lebih selamat," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, orang ramai, termasuk penduduk dan pengusaha makanan di Daerah Tutong dan Daerah Temburong yang memerlukan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan BDFA boleh mengunjungi Pejabat Utama BDFA di Flat B22, Simpang 32-37, Anggerek Desa Technology Park, Bandar Seri Begawan, BB3713, Negara Brunei Darussalam.