JKP perkukuh perkhidmatan pelanggan berteraskan nilai Islam, identiti kebruneian

10 Okt 2026 - 6:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Oktober. - Latihan Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan bagi Industri Hospitaliti dan Pelancongan telah pun berlangsung selama tiga hari, bermula dari 6 hingga 8 Oktober 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) dengan SEAMEO Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO VOCTECH).

Seramai 15 orang terdiri daripada barisan hadapan premis penginapan pelancong yang berdaftar di bawah JKP telah menyertai latihan berkenaan.

Latihan berkenaan merupakan salah satu inisiatif JKP dalam memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan pelanggan ke arah standard yang lebih tinggi dengan menerapkan nilai-nilai Islam dan identiti Kebruneian dalam amalan perkhidmatan.

Pendekatan berkenaan selaras dengan usaha memperkukuh identiti hospitaliti dan pelancongan di NBD, termasuk aspek pelancongan Islam sebagai salah satu elemen yang membezakan negara daripada destinasi serantau yang lain.

Usaha berterusan dalam meningkatkan standard perkhidmatan dalam industri hospitaliti dan pelancongan negara diperkukuh melalui pelaksanaan Kempen MESRA (Muhibah, Etika, Senyum, Ramah dan Adil) yang telah diperkenalkan pada 2022.

Berteraskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB), kempen berkenaan menyediakan kerangka panduan dalam membentuk budaya perkhidmatan yang profesional, beretika, mesra dan berorientasikan pelanggan dalam kalangan barisan hadapan serta penyedia perkhidmatan berkaitan pelancongan.

Melalui pelaksanaan latihan berkenaan, para peserta diberikan pendedahan kepada prinsip dan amalan kecemerlangan perkhidmatan, merangkumi kemahiran komunikasi, pengurusan interaksi dengan pelanggan, etika perkhidmatan serta pemahaman terhadap keperluan pelancong daripada pelbagai latar belakang budaya.

Pendekatan berkenaan dihasratkan dapat meningkatkan kompetensi, keyakinan dan profesionalisme para peserta dalam melaksanakan tanggungjawab masing- masing.

Latihan seumpama berkenaan penting dalam memastikan pekerja barisan hadapan sentiasa mempunyai kompetensi dan keupayaan yang bersesuaian untuk mengendalikan pelancong secara profesional, beretika dan selaras dengan nilai-nilai serta garis panduan yang berkaitan.

Peningkatan pengetahuan, kemahiran dan sikap profesional dalam kalangan pekerja barisan hadapan turut menyumbang kepada penyampaian maklumat dan pengalaman pelancongan yang lebih berkualiti.

Penghayatan nilai-nilai kebruneian seperti keramahan, kesantunan, budi bahasa dan sikap saling menghormati merupakan elemen penting dalam membentuk pengalaman pelancong yang positif. Penerapan nilai-nilai berkenaan secara konsisten dalam penyampaian perkhidmatan dapat menyokong usaha memperkukuh imej NBD sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat, bersih, mesra dan berkualiti, khususnya dalam persediaan menyambut Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027).