Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Oktober. - Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) hari ini mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi meraikan lima orang ahli PGGMB yang menerima anugerah sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, yang telah berlangsung pada 23 September 2026 yang lalu.
Penerima-penerima anugerah tersebut ialah Awang Haji Jamal bin Haji Kahar dan Awang Haji Abd. Razak bin Bongsu (penerima Anugerah Guru Berjasa); Awang Haji Hussain bin Mahari (penerima Anugerah Jejak Bakti Pendidik); serta Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dan Dayang Hajah Sorianasalwa binti Haji Mornie (penerima Anugerah Guru Cemerlang).
Sementara itu, Dr. Khadizah binti Haji Mumin pula menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, yang seterusnya menyampaikan sijil penghargaan dan saguhati kepada para penerima anugerah, di samping penyampaian kepada Jawatankuasa Tertinggi (JKTT), Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT), ahli-ahli serta kakitangan PGGMB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan daripada Yang Di-Pertua PGGMB dan ucapan daripada salah seorang penerima Anugerah Guru Berjasa, Awang Haji Jamal bin Haji Kahar.
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan saguhati kepada penerima anugerah sempena Hari Guru Ke-36 Tahun 2026, penyampaian sumbangan kebajikan kepada ahli PGGMB, diikuti dengan Dikir Marhaban serta Doa Selamat.
Dalam ucapannya, Yang Di-Pertua PGGMB, merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah sempena Sambutan Hari Guru Ke-36 Tahun 2026.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan penghargaan bermakna terhadap jasa, dedikasi dan sumbangan para pendidik dalam bidang pendidikan.
Beliau turut berharap agar penganugerahan berkenaan akan terus menyemarakkan motivasi, komitmen dan kesungguhan para pendidik untuk melaksanakan amanah dengan penuh integriti. Selain itu, anugerah tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pendidikan lestari, memupuk budaya inovasi serta meningkatkan kecemerlangan profesion perguruan secara berterusan.
Dalam kesempatan yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada delegasi PGGMB yang akan menyertai ACT+1 (Korea) Ke-40 di Republik Singapura, yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2026.
Menurut beliau, penyertaan dan komitmen para guru dalam program berkenaan mencerminkan sokongan padu terhadap PGGMB serta usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama di peringkat serantau.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa PGGMB sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek kebajikan ahli-ahlinya, termasuk melalui penyaluran sumbangan kebajikan kepada ahli yang memerlukan.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen dan tanggungjawab sosial korporat PGGMB dalam memastikan kebajikan ahli sentiasa terpelihara, di samping menunjukkan keprihatinan persatuan terhadap kesulitan yang dihadapi oleh para ahlinya.
Mengakhiri ucapan, beliau berharap agar semua penerima anugerah, delegasi ACT+1 serta penerima sumbangan kebajikan akan sentiasa berada dalam rahmat, perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Beliau juga menyeru agar semua guru dan ahli terus memberikan sokongan serta sumbangan yang berterusan demi kemajuan dan kecemerlangan PGGMB yang sama-sama dicintai.