PPPBD adakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Puja Usia Raja Isteri

10 Okt 2026 - 6:56am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BERAKAS, Jumaat, 9 Oktober. - Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) pagi tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang Ke-80, Tahun 2026, selaku Penaung Diraja PPPBD.

Majlis berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Kampung Anggerek Desa, Berakas.

Hadir pada majlis tersebut ialah Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris, Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali, Naib Yang Di-Pertua PPPBD, Dayang Hajah Viviyanti binti Haji Md. Ali dan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.

Majlis berkenaan merupakan salah satu kegiatan tahunan persatuan yang bertujuan untuk meraikan sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, di samping memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran dalam kalangan ahli serta meningkatkan penghayatan kerohanian dan mendekatkan diri kepada Al-Quran sebagai panduan hidup.

Majlis Khatam Al-Quran tersebut melibatkan tiga kumpulan pembaca yang terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Jawatankuasa Tadbir, Pemimpin-Pemimpin Dewasa, Pemimpin-Pemimpin Muda, Pandu Puteri Renjer dan Pandu Puteri.

Setiap kumpulan telah menyempurnakan bacaan masing-masing bagi melengkapkan keseluruhan 30 juz Al-Quran.

Turut menyertai majlis berkenaan ialah ahli-ahli persatuan yang terlibat dalam Projek Pencinta Kalam Allah, yang masing-masing telah melengkapkan bacaan keseluruhan 30 juz Al-Quran.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah, Doa Sebelum Membaca Al-Quran dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD, Dr. Mariam binti Haji Abdul Rahman.

Acara diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh peserta-peserta Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Pemimpin Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Dayang Alas Sarirah @ Nur Syahirah Az Zahra binti Awang Sulaiman dan Pemimpin Sekolah Arab Belait, Dayang Siti Sahirah binti Sahali.

Bacaan Doa Khatam Al-Quran turut dipimpin oleh Dr. Mariam manakala bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Abd. Ghani.

Majlis juga diselajurkan dengan bacaan Doa Tahlil khusus bagi Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang dipimpin oleh Dayang Hajah Fatimah.

PPPBD ditubuhkan secara rasmi pada 1 Februari 1951 selepas perlembagaannya diluluskan oleh Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri di London. Persatuan berkenaan kemudiannya diterima sebagai ahli bersekutu World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) pada 26 Julai 1987.

Pada masa ini, PPPBD mempunyai kira-kira 1,500 orang ahli dan aktif melaksanakan pelbagai kegiatan serta projek kepanduan yang merangkumi aspek keagamaan, kenegaraan, kemasyarakatan, kesihatan, pemeliharaan alam sekitar dan kemahiran.

Selain itu, ahli-ahli persatuan turut menyertai pelbagai latihan, bengkel, kursus perkembangan, perkhemahan dan persidangan di dalam dan luar negara bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kepimpinan.

Selaras dengan matlamat memperkasa golongan perempuan, iaitu 'Empowering Young Women and Girls', setiap kegiatan dan projek yang dirancang oleh PPPBD memberikan tumpuan kepada pembangunan diri dan pembentukan sahsiah ahli sejak peringkat kanak-kanak.

Sebagai sebuah entiti negara, PPPBD turut memainkan peranan dalam memelihara dan menyebarluaskan tradisi masyarakat Brunei, di samping menyesuaikan pelaksanaan programnya dengan piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh WAGGGS.

Usaha berkenaan dilaksanakan dengan komitmen dan penglibatan aktif ahli-ahli persatuan, di samping sokongan berterusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri selaku Penaung Diraja PPPBD.