Siaran Akhbar dan Foto : Jurai Keturunan Ahmad
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 11 Oktober. - Majlis Khatam Al-Quran 80 kali Khatam anjuran Jurai Keturunan Ahmad (JKA) adalah bagi menzahirkan kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
“Majlis yang sangat istimewa ini merupakan pesambah ahli keluarga JKA yang menjadi satu-satunya sumbangan kepada raja yang tercinta,” jelas Pengerusi Majlis, Awang Haji Jasni bin Haji Abdul Latif pada Majlis 80 Kali Khatam Al-Quran di Bangunan Pengiran Hajah Rafiah, Kampung Beribi, di sini.
Katanya lagi, usaha yang murni itu juga membantu untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping peluang untuk bertemu dengan sanak saudara keluarga yang jauh dan dekat.
“Inilah keberkatan kitab suci Al-Quran yang sentiasa memberi rahmat dan nikmat dalam kehidupan dan kita perlu terus berdamping dengan Al-Quran tanpa jemu,” ujarnya.
Majlis yang diadakan buat kali kelima itu bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh tetamu khas majlis iaitu Penasihat Jawatankuasa JKA, Awang Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd. Yassin.
Ini diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang bermula dari Surah Adh Dhuhaa sehinga An-Naas yang dikepalai oleh Awang Haji Jasni bin Haji Abdul Latif.
Sementara itu, Doa Khatam telah dibacakan oleh Awang Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani yang juga membaca Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam manakala Awang Ahmad Hazazi bin Haji Jamil membaca Doa Tahlil.
Majlis diserikan lagi dengan Dikir Asraqal dan Marhaban oleh semua peserta Khatam Al-Quran dikepalai oleh Awang Haji Jasni dan seterusnya para hadirin beramai-ramai membaca Selawat Tafrijiyyah.