Hafl Al-Takharruj UNISSA raikan 443 graduan

18 Og 2026 - 7:26am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

 BERAKAS, Isnin, 17 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sekali lagi mencatatkan pencapaian dalam melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak dan berteraskan nilai-nilai Islam apabila seramai 443 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 berkenaan diserikan lagi dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA, yang berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.

Berangkat sama paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pro-Canselor UNISSA.

UNISSA mula melahirkan graduan pertamanya pada tahun 2011, dan pada tahun ini merupakan Hafl Al-Takharruj atau Konvokesyen yang Ke-16 setelah UNISSA mula membuka penawaran pengajian pada tahun 2007.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Sejurus keberangkatan tiba, perarakan baginda didahului dengan Bentara menjunjung Mushaf UNISSA yang diiringi dengan alunan selawat dan qasidah (dikir) 'Ahlan Bikum Sultanana' dan kemudiannya diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' sejurus selesai Perarakan Canselor.

Hafl Al-Takharruj disemarakkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Ali ‘Imran bermula ayat 189 hingga 192 yang dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul), Fakulti Syariah, Awang Abdulslam Jaidee.

Beliau juga menjuarai Musabaqah Al-Quran Thailand 2014 dan menduduki tempat kedua dalam Musabaqah Antarabangsa Malaysia 2016 serta tempat ketiga di Musabaqah Al-Quran Kebangsaan Thailand 2025.

Manakala bacaan Al-Hadith disampaikan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tahfiz dan Qira’at), Fakulti Usuluddin, Awang Muhammad Adi Syazani@Muhammad Izz Raziq bin Shahri.

Pada tahun 2025, beliau menjuarai Musabaqah Hafaz 30 Juz Al-Quran anjuran Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang dan menjadi naib johan Musabaqah Hafaz Al-Quran di Festival Al-Qur’an Online International anjuran Universitas Islam Negeri Aji Muhammad Idris Samarinda, Indonesia 2024 serta naib johan Musabaqah Menghafaz 30 Juz Al-Quran berserta Pemahamannya peringkat Kebangsaan 2023 dan 2024 Negara Brunei Darussalam. Beliau juga pernah mewakili negara di Musabaqah Menghafaz Al-Quran Antarabangsa, Mekah pada tahun 2023 dan Kuwait pada tahun 2024.

Sementara intisari ayat-ayat suci Al-Quran dan Al-Hadith pula dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tahfiz dan Qira’at), Fakulti Usuluddin, Awang Muhammad Nur Nasrullah bin Abdullah Abdul Razak.

Beliau merupakan juruacara dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran MABIMS, dari tahun 2022 sehingga tahun 2026 dan mempunyai pengalaman selama enam tahun mengetuai sembahyang terawih di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Daerah Belait. Pada masa kini, beliau bertugas sebagai pelapor rampai pagi, Radio Televisyen Brunei.

Antara intisari ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan ialah untuk mengingatkan kita bahawa ilmu bukan sekadar untuk dipelajari tetapi untuk membentuk peribadi dan memajukan umat di mana kita menjadi golongan ‘Ulul al-Bab, iaitu manusia yang menggunakan akal dan ilmu untuk mengenal kebesaran Allah Subhanahu Wata’ala.

Seterusnya, dalam ayat ini, Allah memuji mereka yang sentiasa mengingati-Nya dan pada masa yang sama berfikir serta mengkaji ciptaan-Nya. Ini menunjukkan bahawa Islam membina generasi yang seimbang antara kekuatan ilmu, kekuatan akal dan kekuatan iman.

Kemudian, ayat yang dibacakan juga menyentuh mengenai Generasi ‘Khayra Ummah’; generasi yang bukan hanya cemerlang dalam akademik tetapi generasi yang menjadikan ilmu sebagai jalan berbakti, menyumbang kepada negara, berakhlak mulia serta membawa rahmat kepada orang lain.

Diharap para graduan UNISSA akan terus menjadi pewaris ilmu yang berintegriti, berwawasan dan berjiwa rabbani, seterusnya memimpin masyarakat ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Manakala intisari Al-Hadith pula menjelaskan bahawa antara tanda terbesar seseorang mendapat kebaikan ialah apabila Allah mengurniakan kepadanya kefahaman dalam agama.

Kefahaman agama yang disebut dalam hadis ini tidak hanya terhad kepada mengetahui hukum-hakam, tetapi mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan, berakhlak mulia serta keupayaan memanfaatkan ilmu untuk kebaikan masyarakat dan negara.

Kemudian, ilmu yang diperoleh hendaklah disertai dengan iman, amanah dan rasa tanggungjawab. Apabila ilmu dipandu oleh nilai-nilai agama, maka lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing tetapi juga menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.

Sebelum itu, Rektor UNISSA telah menyembahkan sembah alu-aluan dan kemudiannya memaklumkan penerima-penerima Pingat dan Hadiah Buku Universiti serta para penyumbang sempena Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16.

Hafl Al-Takharruj tahun ini menyaksikan enam graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 57 graduan menerima Ijazah Sarjana, 15 graduan menerima Diploma Siswazah, dua graduan menerima Diploma Lepas Ijazah, 315 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan 40 graduan menerima Diploma Tertinggi Kebangsaan.

Sementara itu, seramai lima penerima menerima bagi Program Diploma Kebangsaan, manakala bagi Ijazah Khas Hafazan 30 juzuk menyaksikan seramai tiga orang penerima.

Pada tahun ini turut menyertai perbarisan ialah 39 graduan penerima ijazah daripada negara-negara di rantau Asia Tenggara termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Bangladesh, Ghana, Jepun, Nigeria, Palestin, Republik Arab Mesir dan Republik Islam Pakistan.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang berlangsung penuh adat dan meriah ini bukan sekadar meraikan kejayaan, malah membawa amanah besar kepada para graduan untuk berbakti demi kemajuan agama, bangsa dan negara.

Sejajar dengan itu, UNISSA terus komited menyediakan pendidikan tinggi Islam yang berkualiti serta penyelidikan berimpak tinggi bagi memacu pembangunan ummah yang mampan berteraskan Maqasid Syari’ah. Usaha ini secara langsung menyokong visi UNISSA untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi Islam global yang melahirkan Generasi Khayra Ummah.