Indeks harga hartanah kediaman persendirian menurun suku kedua 2026

11 Okt 2026 - 4:12am

Siaran Akhbar dan Infografik : Brunei Darussalam Central Bank

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Oktober. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Harga Hartanah Kediaman atau Residential Property Price Index (RPPI) Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi suku kedua tahun 2026.

Indeks berkenaan dihasilkan dengan data yang diperoleh daripada bank-bank di NBD, dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa. Harga hartanah kediaman di NBD mencatatkan penurunan pada suku kedua 2026, dengan RPPI menurun kepada 96.2. Indeks berkenaan menurun sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun berbanding suku kedua tahun 2025 dan sebanyak 3.0 peratus berbanding suku pertama tahun 2026.

Berdasarkan data pinjaman atau pembiayaan yang diperoleh daripada bank-bank, sebanyak 120 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah direkodkan pada suku kedua 2026. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 36.4 peratus berbanding suku pertama 2026, tetapi penurunan sebanyak 17.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sebahagian besar transaksi adalah bagi rumah berasingan atau ‘detached’ (64.2 peratus), diikuti oleh rumah teres (16.6 peratus), rumah berkembar atau ‘semi-detached’ (14.2 peratus), dan pangsapuri (5.0 peratus).

Tiada pinjaman atau pembiayaan bagi pembelian tanah dilaporkan pada suku kedua tahun ini.

Harga penengah (median) bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian adalah BND255,000 pada suku kedua 2026. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 1.5 peratus berbanding suku pertama 2026, namun mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.2 peratus berbanding suku kedua 2025.

Mengikut jenis hartanah, harga penengah adalah BND258,000 bagi pembelian rumah berasingan, BND268,000 bagi rumah berkembar, BND234,000 bagi rumah teres, dan BND156,000 bagi pangsapuri.

Dalam pengiraan RPPI, harga penengah lazim digunakan kerana ia memberikan ukuran yang lebih stabil berbanding harga purata dan tidak mudah dipengaruhi oleh harga hartanah yang luar biasa.

Dari segi lokasi, Daerah Brunei dan Muara (DBM) mencatatkan jumlah pembelian hartanah kediaman tertinggi (96 hartanah), diikuti oleh Daerah Belait (14 hartanah) dan Daerah Tutong (10 hartanah) pada suku kedua 2026.

Di peringkat mukim pula, Sengkurong, Kilanas, Gadong, Liang, Pengkalan Batu, Lumapas dan Berakas ‘A’ mencatatkan jumlah pembelian hartanah kediaman tertinggi pada suku berkenaan.

BDCB ingin mengingatkan bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan agar tidak bergantung kepada indeks dan statistik berkenaan dalam menilai mana-mana hartanah memandangkan nilai hartanah kediaman persendirian berbeza-beza mengikut lokasi, saiz tanah, keluasan lantai serta faktor-faktor lain yang berkaitan.

Untuk maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh didapati di laman sesawang BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’. Maklumat terkini mengenai RPPI juga boleh didapati melalui akaun Instagram BDCB di ‘@centralbank.brunei’.