Siaran Akhbar : Jabatan Keselamatan Dalam Negeri
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Oktober. - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa JKDN telah mengesan kewujudan sebuah akaun Threads, kdn.gov.bn yang menyalahgunakan nama yang menyerupai atau boleh dikaitkan dengan JKDN serta memaparkan logo rasmi JKDN tanpa kebenaran.
JKDN ingin menegaskan bahawa akaun Threads tersebut bukan akaun rasmi JKDN dan akaun tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan atau hubungan dengan JKDN.
Sebarang maklumat, kenyataan dan pandangan yang disiarkan melalui akaun tersebut adalah tidak dikeluarkan, disahkan atau mendapat kebenaran daripada JKDN.
Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan supaya berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat yang diterbitkan melalui akaun media sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu dan tidak memberikan sebarang maklumat peribadi, maklumat kewangan atau butiran sulit kepada pihak yang tidak dikenali.
Seterusnya, tidak mengakses pautan yang mencurigakan atau membuat sebarang transaksi berdasarkan arahan daripada akaun tersebut dan mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini melalui laman sesawang rasmi JKDN di www.kdn.gov.bn. Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JKDN melalui talian 133.
JKDN memandang serius isu penyalahgunaan nama dan logo rasmi JKDN tanpa kebenaran, khususnya apabila penggunaan tersebut berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai serta menjejaskan kepercayaan terhadap penyampaian maklumat rasmi kerajaan.
Sehubungan itu, JKDN berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan undang-undang, berhubung penggunaan nama, logo dan identiti rasmi berkenaan, tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa di Negara Brunei Darussalam.
JKDN juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sebanyak BND3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.