Jelajah Nepal jadi platform promosi VBY 2027

11 Okt 2026 - 4:15am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Ihsan Persatuan Motosikal Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Oktober. – Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) akan menyertai jelajah bermotosikal ‘Ride The Himalaya Nepal’ yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 24 Oktober 2026.

Tiga ahli PEMODA yang akan menyertai jelajah berkenaan ialah Awang Shahrul Amri bin Awang Saban, Awang Mohammad Wafiuddin bin Mohammad Zini dan Awang Shahdan bin Haji Shamsudin.

Penyertaan dalam jelajah berkenaan bukan sahaja memberikan peluang kepada para peserta untuk meneroka keindahan alam semula jadi dan budaya Nepal, malah turut menjadi platform untuk mempromosi Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027).

Melalui penyertaan berkenaan, para peserta berpeluang memperkenalkan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai destinasi pelancongan yang menarik kepada masyarakat antarabangsa, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai keunikan negara ini, termasuk warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta keramahan masyarakatnya.

Jelajah bermotosikal berkenaan juga diharap dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan penggemar motosikal serta memperluas jaringan komuniti permotoran merentasi sempadan negara.

Usaha mempromosikan VBY 2027 melalui penyertaan dalam acara antarabangsa seumpama berkenaan mencerminkan komitmen untuk bersama-sama menguar-uarkan potensi pelancongan negara ke peringkat lebih luas.