Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Oktober. - Di sebalik setiap senyuman, perbualan atau keupayaan seseorang melaksanakan tanggungjawab harian, terdapat individu yang berdepan tekanan dan pengalaman tersendiri yang mungkin tidak dapat dilihat oleh orang lain.
Menyedari cabaran yang tidak kelihatan berkenaan serta mewujudkan persekitaran tempat kerja yang membolehkan kakitangan berasa selesa untuk mendapatkan sokongan merupakan antara mesej utama yang diketengahkan oleh Jerudong Park Medical Centre (JPMC) menerusi program 'The ONE Mind : Beyond the Surface', yang diadakan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026.
Berpandukan tema 'Lived Experiences Heard : Real Voices, Real Change', program berkenaan menggalakkan kakitangan untuk mendengar, merenung dan meluahkan perasaan bagi meningkatkan kesedaran kendiri, pemahaman mengenai tekanan serta sifat empati terhadap orang lain.
Ketua Pegawai Sumber Manusia JPMC, Salehin Basir, menegaskan bahawa usaha mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat dari segi mental memerlukan komitmen bersama.
Jelasnya lagi, persekitaran tempat kerja yang sihat dari segi mental dibentuk melalui cara kita memimpin, cara kita bekerja, cara kita melayan satu sama lain serta persekitaran yang kita wujudkan bersama.
Beliau turut mengetengahkan dapatan kajian yang diterbitkan dalam Brunei International Medical Journal, yang melibatkan seramai 704 petugas kesihatan di Negara Brunei Darussalam (NBD). Kajian berkenaan mendapati bahawa sebanyak 71.7 peratus responden memenuhi ambang yang ditetapkan bagi ‘burnout‘ atau kelesuan melampau akibat tekanan kerja, manakala 32.4 peratus lagi memenuhi ambang bagi masalah kesihatan mental yang lazim.
Walaupun dapatan berkenaan tidak menggambarkan keadaan tenaga kerja JPMC pada masa ini tambahnya lagi, hasil kajian berkenaan menekankan kepentingan memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan profesional kesihatan serta memastikan mereka mempunyai akses kepada sokongan yang bersesuaian.
Salehin Basir juga menjelaskan konsep ‘second victim’, iaitu keadaan apabila golongan profesional kesihatan mengalami tekanan emosi atau psikologi susulan kejadian buruk atau hasil rawatan pesakit yang tidak dijangka.
Bagi memperkukuh sokongan kepada kakitangan yang terjejas katanya lagi, JPMC telah mempergiat semula Program Second Victim menerusi tadbir urus yang lebih jelas, penambahbaikan proses, peningkatan kesedaran mengenai program berkenaan serta penyelarasan sokongan rakan sekerja dan organisasi yang lebih berkesan.
“Penjagaan kesihatan melibatkan kerja yang berteraskan kemanusiaan. Walaupun seseorang profesional itu sangat berpengalaman, mereka tetap boleh terkesan oleh pengalaman yang sukar. Apabila perkara itu berlaku, mereka tidak seharusnya menghadapi penderitaan tersebut bersendirian,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan saluran sokongan yang disediakan kepada kakitangan, termasuk Perkhidmatan Kaunseling Kakitangan yang sulit, Sistem Pelaporan Insiden dan Jawatankuasa Etika, bergantung kepada jenis permasalahan yang dihadapi.
Menyedari bahawa kesejahteraan bukan sekadar berkaitan dengan menangani pengalaman yang sukar, program berkenaan turut menyaksikan pelancaran rasmi Employee Corporate Perks Programme, ‘Sejahtera Kitani’.
Program berkenaan menawarkan faedah eksklusif dan potongan harga kepada kakitangan daripada rakan niaga yang mengambil bahagian, sebagai tambahan kepada faedah dalaman sedia ada. Inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada kakitangan untuk menikmati masa berkualiti, mengeratkan hubungan dan menyegarkan minda di luar tanggungjawab pekerjaan.
Program berkenaan turut menampilkan ceramah kesejahteraan bertajuk ‘The 3S’s of Stress Management’ yang disampaikan oleh AC-ACE Creative Training Services. Ceramah berkenaan memperkenalkan pendekatan praktikal untuk mengenal pasti dan mengurus tekanan dalam kehidupan seharian.
Seterusnya, bengkel berpandu bertajuk ‘What Matters Within’ dikendalikan oleh pasukan JPMC's Art Therapy dan Neuropsychology dari Rehabilitation Department.
Melalui aktiviti menenangkan diri, ekspresi kreatif dan penerokaan nilai peribadi, para peserta digalakkan untuk meluahkan pengalaman berkaitan kelesuan melampau akibat tekanan kerja, memberikan ruang kepada diri sendiri untuk mengutamakan penjagaan kendiri serta merenung sejauh mana usaha harian mereka selaras dengan perkara yang paling bermakna dalam kehidupan masing-masing.
Dengan menggabungkan pendekatan mendengar, merenung dan meluahkan perasaan, program berkenaan menggalakkan kakitangan melihat melangkaui apa yang terserlah pada diri sendiri mahupun orang lain.
Pendekatan berkenaan sekali gus mengukuhkan pesanan Salehin Basir agar setiap individu meluangkan masa untuk bertanya dengan ikhlas, ‘Bagaimana keadaan kita sebenarnya?’.
Menerusi inisiatif seperti The ONE Mind, Program Second Victim yang diperkukuh semula dan Sejahtera Kitani, JPMC terus memperteguh komitmennya dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja yang menyokong dan berteraskan keperluan insan, dengan kesejahteraan kakitangan diiktiraf sebagai aspek penting dalam pengalaman bekerja secara menyeluruh.