Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Khamis, 13 Ogos. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya lewat petang tadi mengadakan Majlis Pembukaan Dikir sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks JPM, di sini.
Hadir ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.
Atur cara dimulakan dengan penyerahan sumbangan wakaf yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II kepada wakil daripada Masjid Ash-Shaliheen.
Acara diteruskan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti bacaan Wirid, doa dan Surah Al-Fatihah.
Majlis kemudiannya disusuli dengan Dikir Assalamualaika dan Dikir Syarafil Anam yang dibacakan oleh kumpulan pendikir Al-Alzam Kumpulan Tausyeh.
Selesai Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, Dikir Marhaban dibacakan, disusuli dengan bacaan doa selepas Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai penutup majlis.
Majlis pada tahun ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Wawasan Brunei, JPM selaku Pengerusi Majlis dengan dikendalikan bersama oleh Biro Mencegah Rasuah dan Jabatan Kehakiman Negara.