Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Ogos. - Pasukan Kementerian Pertahanan muncul juara bagi Kategori Kementerian pada Kejohanan Tarik Kalat sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara, hari ini.
Juara Kategori Kementerian menerima Piala Pusingan sumbangan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri meraih naib juara, diikuti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di tempat ketiga dan Kementerian Hal Ehwal Ugama di tempat keempat.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan merangkap Pemangku Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku tetamu kehormat.
Pada kejohanan berkenaan, Kategori 'A' iaitu 560 kilogram (kg) menyaksikan pasukan KB Bull Brothers muncul juara, manakala Bro's Extreme menduduki tempat kedua, MS PPDB di tempat ketiga dan SPSS Tuggers di tempat keempat.
Bagi Kategori 'B' iaitu 680kg, pasukan Chainblock muncul juara, diikuti One X One di tempat kedua, Luntau Borneo di tempat ketiga dan MS ABDB di tempat keempat.
Sementara itu, Kategori 'C' Remaja iaitu bagi peserta berumur 19 tahun ke bawah dan berat badan terkumpul 500kg dimenangi oleh Lobo Puller, diikuti Bro's Extreme Junior di tempat kedua, Chainblock Junior di tempat ketiga dan KB Bull Junior di tempat keempat.
Juara Kategori 'A' dan 'B' masing-masing menerima Piala Pusingan Kurnia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir, piala iringan, pingat perseorangan serta wang tunai sebanyak BND2,000.
Bagi Kategori 'C', juara menerima Piala Pusingan Kurnia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir, piala iringan, pingat perseorangan serta wang tunai sebanyak BND1,500.