Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BELAIT, Khamis, 5 November. - Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Kementerian Kewangan; dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), telah mengadakan dua sesi muzakarah bersama penyewa tapak-tapak perindustrian mengenai pengemaskinian Tarif Elektrik ‘B’ bagi sektor komersial.
Sesi pertama telah diadakan pada 3 November 2026, bertempat di Dewan Teater Utama, JPM, bagi penyewa tapak-tapak perindustrian di Daerah Brunei dan Muara, diikuti dengan sesi kedua pada 5 November 2026 di Dewan Teater Mini, Sungai Liang, bagi penyewa tapak-tapak perindustrian di Daerah Belait dan Daerah Tutong.
Sesi-sesi muzakarah berkenaan bertujuan untuk memberi penerangan mengenai pengemaskinian Tarif Elektrik ‘B’, yang telah dinamakan semula daripada ‘Tarif B : Sektor Komersial’ kepada ‘Tarif B : Sektor Bukan Perumahan’.
Pengemaskinian berkenaan memperkenalkan struktur tarif progresif bagi mewujudkan kadar tarif elektrik yang lebih adil, telus dan mencerminkan penggunaan sebenar serta menggalakkan penggunaan elektrik yang lebih cekap.
Sesi berkenaan turut memberi penjelasan mengenai tempoh peralihan selama 18 bulan sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada April 2028.
Pihak perniagaan digalakkan untuk memantau penggunaan elektrik melalui Unified Smart Metering System (USMS), melaksanakan audit tenaga, mengamalkan langkah-langkah Kecekapan dan Penjimatan Tenaga (EEC), serta meneroka sumber tenaga alternatif dan tenaga bersih terutamanya tenaga solar bagi mengurus kos elektrik dengan lebih berkesan.
Bagi para peniaga yang merancang untuk memasang sistem solar photovoltaic (PV) sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan bil elektrik bulanan, bolehlah merujuk kepada kalkulator solar bagi mendapatkan anggaran kos pelaburan awal bagi keseluruhan sistem solar PV.
Bahan rujukan lain, termasuk maklumat mengenai program Net-Metering, Buku Panduan Kecekapan dan Penjimatan Tenaga dan senarai kontraktor solar PV yang berdaftar bolehlah didapati melalui laman sesawang rasmi Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri di www.tenaga.gov.bn.
Selain itu, sesi berkenaan turut mengetengahkan ketersediaan Platform Maklum Balas Tarif ‘B’ sebagai saluran bagi pihak perniagaan mengemukakan pertanyaan dan maklum balas sepanjang tempoh peralihan.
Maklum balas yang diterima akan diteliti oleh Pasukan Petugas Pemantauan dan Penelitian bagi menilai kesan pengemaskinian tarif. Sesi dialog interaktif turut memberi peluang kepada pihak perniagaan untuk mendapatkan penjelasan dan mengongsikan pandangan mengenai struktur tarif baharu serta langkah-langkah sokongan yang tersedia.
Hadir pada sesi-sesi muzakarah berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.
Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM dalam ucapannya berkata, walaupun tempoh peralihan memberikan ruang masa kepada pihak perniagaan untuk membuat persediaan, kami juga menyedari kepentingan untuk memantau impak pelaksanaan kadar tarif yang disemak semula serta memastikan bahawa pandangan dan kebimbangan pihak - pihak berkepentingan diberikan pertimbangan sewajarnya.
Sehubungan itu jelasnya lagi, sebuah Pasukan Petugas Pemantauan dan Penelitian telah ditubuhkan bagi menilai impak struktur tarif yang disemak semula, meneliti maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan serta mempertimbangkan langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian sekiranya diperlukan.
Turut hadir, wakil-wakil dari Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di JPM, KEPI, Kementerian Kewangan serta BEDB.
Sesi - sesi muzakarah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh penglibatan bersama komuniti perniagaan bagi menyokong peralihan yang lancar ke arah sektor tenaga elektrik yang lebih cekap dan mampan.
Maklumat lanjut mengenai struktur tarif baharu boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Jabatan Perkhidmatan Elektrik di www.des.gov.bn dan akaun Instagram rasmi @desbrunei.
Bagi sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Platform Maklum Balas Tarif ‘B’ melalui WhatsApp di talian +673 7400515 atau e-mel tariffb@jpm.gov.bn.