Wanita warga Republik Filipina temui hidayah Islam

6 Nov 2026 - 8:35am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 November. - Bilangan saudara baharu yang memeluk agama Islam di negara ini terus meningkat susulan berlangsungnya Majlis Pengislaman bagi seorang wanita berbangsa Filipina yang diadakan petang tadi di Kampung Katimahar.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

Majlis berkenaan menyaksikan seorang wanita berbangsa Republik Filipina, Helen Yuraq Lumbab, memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya setelah melafazkan dua kalimah syahadah dan kini dikenali sebagai Dayang Fatima Az Zahra binti Abdullah.

Majlis Pengislaman berkenaan berlangsung di kediaman Awang Mohd. Nor Faidzal bin Haji Zainuddin.

Turut hadir, Penghulu Mukim Kiudang, Awang Haji Hirullizam @ Khairulizam bin Haji Jefrey; serta Ketua Kampung Lugu dan Katimahar, Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Sani.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz dua kalimah syahadah oleh Helen Yuraq Lumbab di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da’wah (Pengislaman), Pusat Da’wah Islamiah.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada saudara baharu, diikuti dengan laungan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Selamat bagi mengakhiri majlis.

Menurut statistik, sejak awal Januari hingga 31 Oktober 2026, seramai 223 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 117 orang merupakan saudara baharu di Daerah Brunei dan Muara.