Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BERAKAS, Khamis, 5 November. - Royal Brunei Culinary (RBC) dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mengadakan Majlis Pelancaran 'Nusantara Soto Festival: Taste the Diversity of Indonesia' pagi tadi bertempat di The Airport Restaurant by Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke NBD, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Achmad Ubaedillah.
Turut hadir ialah Pengurus Besar RBC, Awang Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial; wakil-wakil daripada ahli kor diplomatik, KBRI serta pihak pengurusan RBC.
Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Haji Jeff Hadiman antaranya menyatakan bahawa festival ini mencerminkan komitmen RBC untuk bekerjasama dengan KBRI bagi membawakan hidangan dari pelbagai wilayah di Republik Indonesia kepada para pelanggan di NBD.
“Brunei dan Indonesia mempunyai hubungan yang rapat dan makanan merupakan salah satu cara untuk kita mengenali serta menghargai budaya masing-masing. Melalui festival ini, kami berharap dapat memperkenalkan kepelbagaian masakan Indonesia kepada para pelanggan sekali gus memberi mereka peluang untuk merasai cita rasa dan tradisi serantau di sebalik hidangan-hidangan ini,” tambah beliau.
Festival ini mengetengahkan ‘soto’ sebagai tarikan utama, dengan menampilkan lima variasi serantau iaitu Soto Makassar, Soto Kudus, Soto Betawi, Soto Lamongan, dan Soto Padang.
Walaupun soto dinikmati di seluruh Republik Indonesia, setiap wilayah mempunyai cara penyediaan yang tersendiri, yang menawarkan cita rasa serta interpretasi berbeza terhadap hidangan kegemaran yang sudah tidak asing lagi ini.
Festival ini turut menampilkan Cef Asep Suhaeri, yang dijemput dari Republik Indonesia untuk berkongsi kepakaran beliau dalam masakan Indonesia.
Penglibatan beliau menyokong fokus festival ini dalam menyajikan hidangan serantau yang autentik, selaras dengan tradisi kulinari asal hidangan tersebut.
Selain soto, para pengunjung boleh menikmati hidangan kegemaran Republik Indonesia yang lain, bermula daripada keenakan Mie Jawa Godok sehinggalah kepada pelbagai jenis hidangan yang sinonim dengan Nasi Padang. Menu yang lebih luas ini turut menampilkan hidangan popular seperti Ayam Geprek dan Ayam Bakar, di samping pelbagai juadah istimewa dari pelbagai daerah lain.
Nusantara Soto Festival akan menawarkan bufet makan malam pada setiap hari Jumaat dan Sabtu sehingga 21 November 2026, dengan harga BND29.90 bagi setiap orang dewasa dan BND15.90 bagi setiap kanak-kanak.
Menu ‘ala carte’ juga akan disediakan dari 8 November hingga 19 November 2026.
Pemegang kad RBC Dining Privilege layak menerima diskaun sebanyak 10 peratus apabila menjamu selera sepanjang festival ini berlangsung.
Untuk tempahan, sila hubungi The Airport Restaurant by Anjung Saujana di talian +673 2331853. Ikuti ‘@anjungsaujanarestaurant’ di Instagram untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini.