SKBD Ke-V : Platform kenal pasti, cungkil bakat atlet muda

6 Nov 2026 - 8:23am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Khamis, 5 November. – Seramai 1,071 atlet akan menyertai Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V (SKBD Ke-V), Tahun 2026 yang bakal berlangsung dari 7 hingga 14 November 2026 ini, dengan mempertandingkan 10 acara sukan.

Kejohanan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dengan kerjasama Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam berkenaan akan menyaksikan sebanyak 536 pingat menjadi rebutan, terdiri daripada 149 emas, 149 perak dan 238 gangsa.

Perkara berkenaan dikongsikan semasa sidang media mengenai persediaan SKBD Ke-V, Tahun 2026 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB), Berakas di sini.

Sidang media berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja SKBD Ke-V, Tahun 2026.

Turut hadir, Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku Setiausaha Bersama; Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh, selaku Timbalan Setiausaha Bersama; dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Awang Haji Mohd. Zaki bin Haji Hassanol As’shari, selaku Ketua Bersama Jawatankuasa Promosi, Penyiaran dan Komunikasi.

SKBD merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang menjadi wadah menghimpunkan atlet dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan. Kejohanan berkenaan juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat atlet yang berpotensi, khususnya dalam kalangan belia, sebagai persediaan mewakili negara ke kejohanan sukan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa.

Penganjuran SKBD pada tahun ini merupakan kali kelima sejak ia mula diadakan pada 2012.

Bertemakan ‘Bersama Mengejar Kegemilangan‘, SKBD Ke-V menekankan semangat kebersamaan dalam mencapai kecemerlangan sukan melalui kerjasama, perpaduan dan semangat kesukanan. Kecemerlangan sukan bukan sahaja menjadi kebanggaan bersama, malah berperanan sebagai wadah menyatupadukan masyarakat serta menyumbang kepada pembentukan negara yang harmoni, maju, berdaya saing dan gemilang.

Sebanyak tujuh kontinjen akan mengambil bahagian yang terdiri daripada kontinjen Daerah Brunei dan Muara, kontinjen Daerah Belait, kontinjen Daerah Tutong, kontinjen Daerah Temburong, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam.

Sementara itu, sebanyak 10 acara sukan yang dipertandingkan ialah akuatik, badminton, bola jaring, bola sepak, futsal, karate, olahraga, pencak silat, sepak takraw dan tarik kalat.

Acara akuatik akan berlangsung pada 6 hingga 8 November 2026 di Kolam Renang Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Berakas; manakala badminton pada 9 hingga 13 November 2026 di Kompleks Sukan Tutong; sementara bola jaring pada 5 hingga 12 November 2026 juga mengambil tempat di Kompleks Sukan Tutong dan Stadium Tertutup, KSNHB, Berakas.

Bagi acara bola sepak, pertandingan berlangsung dari 31 Oktober hingga 13 November 2026 di beberapa lokasi, iaitu SNHB, Padang dan Balapan KSNHB, Kompleks Sukan Berakas, Kompleks Sukan Tutong serta Kompleks Sukan Temburong.

Sementara itu, sukan futsal akan diadakan pada 7 hingga 13 November 2026 di Dewan Serbaguna dan Stadium Tertutup, KSNHB, Berakas; manakala karate pada 9 hingga 11 November 2026 di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan; dan olahraga pada 10 hingga 12 November 2026 di SNHB, Berakas.

Bagi sukan pencak silat pula akan diadakan pada 7 hingga 13 November 2026 di Dewan Serbaguna, KSNHB, Berakas; manakala sepak takraw pada 7 hingga 13 November 2026 dan tarik kalat pada 9 hingga 10 November 2026, masing-masing di Kompleks Sukan Sungai Kebun.

Majlis Pembukaan Rasmi SKBD Ke-V, Tahun 2026 dijadualkan berlangsung pada Ahad, 8 November 2026, pukul 4.00 petang di Stadium Tertutup, KSNHB, Berakas.

Antara pengisian majlis ialah perarakan lalu kontinjen dan ucapan deklarasi pembukaan kejohanan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada Majlis Perasmian berkenaan nanti, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Orang ramai dialu-alukan untuk hadir menyaksikan Majlis Pembukaan Rasmi serta memberikan sokongan kepada para atlet di kesemua perlawanan sepanjang kejohanan berlangsung.

Maklumat lanjut mengenai SKBD Ke-V, Tahun 2026 boleh diperoleh melalui laman sesawang ‘www.belia-sukan.gov.bn/skbd/’ atau Instagram ‘@officialskbd.bn’.