Komitmen warga pendidikan dalam meningkatkan kesedaran kesihatan mental

11 Okt 2026 - 4:19am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kaunseling selaku Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Tahun 2026 bagi kementerian, pada hari ini mengadakan aktiviti ‘Wear It Green Day’ sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Tahun 2026 bagi Kementerian Pendidikan.

Melalui aktiviti berkenaan, seluruh warga Kementerian Pendidikan dan warga sekolah dialu-alukan untuk mengambil bahagian dengan mengenakan pakaian berwarna hijau bagi pegawai, kakitangan dan tenaga pengajar, serta aksesori berwarna hijau bagi para pelajar.

Inisiatif berkenaan melambangkan perpaduan, sokongan dan komitmen warga Kementerian Pendidikan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental.

Tema sambutan tahun ini ‘Pengalaman Kehidupan Didengar : Suara Yang Benar, Perubahan Yang Nyata’ (Lived Experiences Heard : Real Voices, Real Change), menekankan kepentingan mendengar kisah dan pengalaman hidup individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental, di samping menggalakkan masyarakat untuk lebih berempati, tidak menghukum serta berkomunikasi secara langsung dengan individu yang terkesan, berbanding sekadar bercakap mengenai mereka.

Penglibatan individu yang mempunyai pengalaman hidup sedemikian juga dapat membantu memastikan sokongan yang diberikan lebih berpusatkan individu (person-centered), berorientasikan pemulihan (recovery-oriented), inklusif dan manusiawi.