Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII Selangor 2026
SELANGOR, MALAYSIA, Ahad, 16 Ogos. - Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 telah membuka tirai secara rasmi pada 15 Ogos 2026 dalam sebuah majlis penuh gilang-gemilang yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor.
Majlis Pembukaan Rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 pada pukul 8.00 malam itu disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai simbolik bermulanya temasya sukan terbesar peringkat negeri dan kebangsaan yang menghimpunkan atlet terbaik dari seluruh Malaysia serta kontinjen jemputan.
Majlis pembukaan mengangkat tema 'Di Sinilah Lahirnya Juara', yang mengetengahkan perjalanan seorang atlet dalam membina kejayaan melalui impian, disiplin, pengorbanan, kesungguhan dan semangat tidak mudah berputus asa.
Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan sepanjang SUKMA Selangor 2026 yang melibatkan venue pertandingan di seluruh negeri. Temasya ini turut menyaksikan penyertaan 15 kontinjen, termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai kontinjen jemputan.
Turut hadir pada Majlis Pembukaan Rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), NBD, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman sebagai wakil Kerajaan NBD yang turut memberikan sokongan terhadap penyertaan kontinjen NBD dalam temasya kali ini.
Penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dan manakala Para SUKMA akan diadakan mulai 5 hingga 14 September 2026.
NBD akan menyertai dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik (Renang), Badminton, Olahraga, Catur, Golf, Lawan Pedang, Karate, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwondo and Wushu.