Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Kejayaan proses reintegrasi bagi kementerian ini bukan sekadar diukur apabila seorang residen dibebaskan daripada Kompleks Rumah Kebajikan (KRK), tetapi melalui sejauh mana mereka mampu membina kehidupan yang stabil berdikari dan terus berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan demikian semasa menjawab persoalan dan cadangan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong, mengenai Petunjuk Prestasi yakni KPI yang digunakan oleh kementerian untuk mengukur kejayaan sebenar reintegrasi di KRK dan peratus yang benar-benar berjaya menjadi individu berdikari, mempunyai pekerjaan tetap, membina keluarga yang stabil dan tidak kembali kepada masalah sosial. Untuk makluman, KRK Belimbing jelasnya, telah ditubuhkan sebagai institusi pemulihan dan perlindungan bagi menempatkan kanak-kanak di bawah 18 tahun dan perempuan melalui Perintah Mahkamah atau Perintah Pesuruhjaya iaitu Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Sehubungan dengan itu, tambah Yang Berhormat, JAPEM melaksanakan Program Aftercare, iaitu program susulan yang menyediakan pemantauan, bimbingan dan intervensi selepas seseorang residen meninggalkan KRK. Program ini dilaksanakan sekurang-kurangnya sehingga tiga tahun selepas pembebasan atau sehingga residen mencapai umur 21 tahun sahaja, tertakluk kepada keperluan sesuatu kes.
“Bagi menilai keberkesanan program ini, kementerian menggunakan Petunjuk Prestasi Utama yakni ‘outcome-based’ KPI, yang memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama.
“Di antaranya adalah kejayaan penempatan semula dalam persekitaran keluarga atau komuniti yang selamat, penyertaan dalam pekerjaan, pendidikan, latihan kemahiran atau keupayaan hidup keusahawanan, berdikari dan mengurus kehidupan secara positif, kestabilan hubungan kekeluargaan dan jaringan sokongan sosial dan juga ketiadaan penglibatan semula dalam gejala sosial atau kesalahan berulang yakni ‘recidivism’ dan penglibatan aktif dalam masyarakat sepanjang tempoh pemantauan,” ujar Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada hari terakhir Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang telah berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat menyatakan pada masa ini, tempoh pemantauan rasmi Program Aftercare adalah sehingga tiga tahun selepas pembebasan. Oleh itu, kementerian belum mempunyai data yang lengkap bagi tempoh lima sehingga 10 tahun sebagaimana yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ahli MMN, Penghulu Mukim Ukong.
Walau bagaimanapun kata Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, cadangan tersebut merupakan satu perkara yang akan diteliti dalam usaha memperkukuh sistem pemantauan berasaskan hasil yakni ‘long-term outcome monitoring’ pada masa hadapan.
“Namun, sukacita dikongsikan bahawa bagi tempoh 2022 hingga 2026, seramai 16 orang bekas residen pemulihan telah menamatkan tempoh perintah di KRK dan daripada jumlah tersebut, 10 orang yakni 63 peratus, telah berjaya memperoleh pekerjaan, seorang meneruskan pengajian, tiga orang masih dalam proses mendapatkan pekerjaan dan dua orang dikenal pasti mengulangi penglibatan dalam masalah sosial atau kesalahan jenayah,” terang Yang Berhormat lagi.
Menurut Yang Berhormat, dapatan ini menunjukan bahawa sebahagian besar bekas residen berjaya meneruskan kehidupan dalam masyarakat melalui pekerjaan atau pendidikan, manakala sebilangan kecil masih memerlukan intervensi dan sokongan susulan.
Selain petunjuk kuantitatif tersebut, kementerian jelasnya, turut melihat kejayaan reintegrasi melalui perubahan kehidupan yang lebih menyeluruh. Antaranya ialah, bekas residen yang berjaya menamatkan pengajian di institusi pendidikan teknikal dan kini bekerja di sektor swasta serta beberapa kes kanak-kanak yang berjaya disatukan semula dengan keluarga atau penjaga yang sesuai dan terus mengikuti pendidikan dalam persekitaran yang selamat dan stabil.
Pengalaman ini tegas Yang Berhormat, menunjukkan bahawa kejayaan reintegrasi bukan hanya bergantung kepada institusi, tetapi dipengaruhi oleh sokongan keluarga, komuniti dan kerjasama pelbagai agensi. Selaras dengan itu, kementerian terus mengamalkan pendekatan ‘family first approach’, di samping memperkukuh kerjasama rentas agensi bagi memastikan setiap bekas residen menerima sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan masing-masing.
Yang Berhormat seterusnya menegaskan, kementerian akan terus memperkukuh pendekatan berasaskan hasil ke hadapan dengan meneliti mekanisme pemantauan jangka panjang yang lebih sistematik supaya keberkesanan program reintegrasi dapat dinilai bukan sahaja dari aspek pelindungan tetapi juga dari segi pembangunan potensi, kestabilan kehidupan dan penyertaan sosial bekas residen dalam jangka masa yang lebih panjang.